Pandikar Minta Siasatan 1MDB Ditangguh

Kuala Lumpur – Siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC) ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu ditangguhkan sementara, sehingga pengerusi baru jawatankuasa itu dilantik.

 

Gesaan itu dibuat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang dipetik daripada laporan bnbbc.my.

 

Pandikar berkata, berdasarkan Peraturan Mesyuarat 77 (3), ahli PAC perlu dipilih untuk mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu, apabila pengerusi atau timbalannya tidak dapat hadir.

 

“Ia juga boleh digunakan, sekiranya pengerusi tidak dapat hadir kerana sakit. Namun, ia tidak boleh diguna pakai, apabila pengerusinya sendiri mengosongkan kerusi itu dalam jawatankuasa,” katanya dalam laporan itu.

 

Malah katanya, adalah lebih baik untuk tunggu, bagi mengelakkan sebarang masalah berbangkit dalam prosiding PAC.

 

“Jadi, ia hanya adil untuk meneruskan prosiding, hanya apabila seorang pengerusi dilantik,” katanya.

 

PAC kehilangan pengerusinya, selepas Datuk Nur Jazlan Mohamed dilantik sebagai timbalan menteri dalam rombakan Kabinet, Selasa lalu.

 

Tiga ahli PAC lain turut dilantik memegang jawatan dalam Kabinet.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.