Muhyiddin Minta Penyokongnya Bertenang

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan penyokongnya supaya tidak melakukan perkara yang boleh memudaratkan parti dan negara.

 

Bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau menghargai sokongan yang ditunjukkan kepadanya oleh semua pihak termasuk netizen dan berharap mereka mengutamakan kepentingan negara.

 

“Saya dapat rasakan perasaan kecewa dan dukacita mereka tetapi apa pun saya berikan nasihat supaya kita harus lebih utamakan kepentingan negara,” katanya kepada pemberita di kediamannya di sini, semalam.

 

Mengulas mengenai penggugurannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan daripada Kabinet, Muhyiddin berkata beliau dimaklumkan oleh Pejabat Perdana Menteri supaya bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 11 pagi semalam.

 

Pada masa itu, katanya beliau berada di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan untuk merasmikan sebuah sekolah swasta. “Saya hanya dapat jumpa beliau (Najib) pada 12.15 tengah hari…saya tanya apa tujuan saya dijemput, adakah berkaitan rombakan jemaah menteri, beliau angguk.

 

“Adakah ada apa-apa beliau nak cakap kepada saya, beliau rasa susah nak cakap…saya tanya adakah bermakna saya tidak disenaraikan (dalam Kabinet), beliau (angguk) dan saya cakap terima kasih,” katanya.

 

Muhyiddin berkata, beliau menerima keputusan itu kerana ia adalah prerogatif perdana menteri.

 

“Bagi saya, itu hak beliau (Najib) sebagai ahli politik yang dah lama berpengalaman, itu hakikat yang saya tak boleh nafikan…saya akur,” katanya.

 

Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau dapat melelapkan mata malam tadi walaupun agak lewat kerana menerima kunjungan daripada pelbagai pihak termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

 

Katanya, kunjungan itu sekadar menyatakan perasaan simpati dan bukannya bertujuan merancang sesuatu terhadap kerajaan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.