Litar Sepang Beri Cabaran Menarik – Rea

Kuala Lumpur – Litar Antarabangsa Sepang sangat mencabar bagi pendahulu Kejohanan Superbike Dunia (WSBK), Jonathan Rea yang percaya ia akan menjadikan perlumbaan hujung minggu ini lebih menarik ketika dia memburu penamat podium.

 

Penunggang Kawasaki Racing Team dari Great Britain itu yang kini mendahului kejuaraan dengan mengumpulkan 407 mata selepas sembilan pusingan, percaya pasukannya lebih sesuai beraksi dalam perlumbaan yang mencabar di litar itu.

 

Rea berjaya mencatat penamat podium dalam semua 18 perlumbaan setakat ini dengan 11 daripadanya menyaksikan dia muncul pemenang.

 

“Saya gemarkan litar ini…ia begitu lancar dan ini adalah litar yang selamat dengan banyak kawasan pecutan. Saya tidak sabar mengharunginya lagi. Sektor terakhir litar membolehkan kita memecut.

 

“Ia adalah penting untuk pasukan menyediakan motosikal yang boleh bergerak pantas terutama ketika berada di kawasan yang paling sukar. Tapi kami jangkakan suhu yang panas dan lembap berbanding di Eropah.

 

“Bagi saya, reka bentuk litar Sepang cukup menarik tetapi apa yang sukar adalah permukaannya memberi kesan besar kepada tayar,” katanya.

 

Terdahulu, Rea bersama tujuh pelumba WSBK dibawa melawat Kompleks Kraf Kuala Lumpur di Jalan Conlay, di sini. Rea berkata adalah penting untuk pasukannya menyediakan jentera yang baik khususnya dalam penyediaan tayar yang sesuai dengan suhu panas dan lembap di sini.

 

Beliau mengakui berpuas hati dengan pasukannya ketika ini lebih-lebih lagi Kawasaki Racing Team kini mendahului 1-2 dalam senarai kejuaraan keseluruhan dengan rakan sepasukannya, Tom Sykes berada di tempat kedua hasil pungutan 282 mata.

 

Pusingan ke-10 WSBK akan bermula di Sepang esok sehingga Ahad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.