Jurulatih Baharu Sarawak Yakin Kemampuan Anak Buah

Kuching – Walaupun menyedari lawan yang bakal ditentang iaitu Johor Darul Ta’azim (JDT) bukan calang-calang pasukan, namun pengemudi baharu skuad Bujang Senang, Fuad Grbesic yakin anak buahnya mampu mengutip mata penuh di Stadium Negeri pada Sabtu ini.

 

Namun Sarawak bakal beraksi tanpa tiga tonggak utama iaitu penyerang import Ryan Griffiths yang digantung satu perlawanan setelah menggumpul tiga kad kuning, Ashri Chchu dan G. Mahathevan yang masing-masing masih dibelenggu kecederaan.

 

“Kita sedar  lawan kita (JDT) sebuah pasukan yang mantap dengan himpunan pemain berstatus bintang, namun saya percaya kami mampu mengatasi situasi tersebut,” katanya.

 

Beliau yang mengambil alih tugas daripada Robert Alberts yang ditamatkan kontrak turut mengakui ia adalah tugas berat bagi dirinya dan cabaran besar buat pemain-pemainnya.

 

“Saya amat berharap barisan pemain yang akan diturunkan Sabtu ini mampu memberi yang terbaik untuk mencipta kemenangan yang amat diperlukan oleh pasukan Sarawak,” katanya.

 

Tegas Fuad, apa yang penting fokus pemain sepanjang perlawanan tidak terjejas kerana inilah peluang terbaik untuk anak didiknya mengembalikan keyakinan setelah berprestasi merudum pada beberapa perlawanan lalu.

 

Beliau bagaimanapun mampu menarik nafas lega apabila pemain pertahanan berpengalaman Ramesh Laiban Huat disahkan pulih sepenuhnya daripada kecederaan ibu jari kaki dan disah boleh beraksi Sabtu ini. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.