Ibu Mentua Larang Nieyl Masuk Dapur

Penyanyi Nieyl mengakui sejak mendirikan rumah tangga sehingga kini dia selesa tinggal bersama ibu mentuanya sekaligus menolak persepsi sesetengah masyarakat yang berpandangan lebih banyak dugaan dan cabaran apabila pasangan suami isteri duduk serumah dengan mentua.

 

Jelasnya, dia bersyukur kerana mempunyai ibu mentua yang memahami dan tidak cerewet. Malah, sering membantu Nieyl dalam menguruskan perihal rumah tangga.

 

Misalnya, membantu menjaga anak perempuannya, Damia yang berusia 6 tahun, jika penyanyi bakatnya digilap menerusi program realiti Mentor ini keluar bekerja.

 

“Ibu mentua saya seorang yang memahami dan tidak cerewet sangat. Kalau saya kerja, dia yang tolong jagakan anak saya.

 

“Cuma satu saja, dia tak bagi saya masuk dapur dan memasak. Memang dia tak bagi anak menantu dia memasak sebab dia yang akan masak untuk kami sekeluarga kecuali dia penat, baru dia suruh saya masak.

 

“Saya pula memang tak pandai masak, jadi kalau nak hendak belajar memasak dengan ibu mentua saya, kena tengok dia ketika dia memasak.

 

“Tapi kalau saya masak tak sama macam ibu mentua saya masak, suami saya pula akan komen,” katanya sambil tertawa.

 

Nieyl atau nama sebenarnya Nuriylia Jailani, 32, ditemui pada majlis Rumah Terbuka Indigital Sdn Bhd di Pusat Komuniti Bandaraya, Bangsar baru-baru ini tidak menafikan kadangkala terbit perasaan terasa hati tetapi menganggap itu adalah perkara kecil dan lumrah hidup berkeluarga.

 

“Kadang-kadang ada juga timbul terasa hati tapi itu perkara biasa. Sebagai anak menantu, kita perlu banyak bersabar dan menganggap ianya lumrah dalam keluarga, buat kita lebih berdikari dan setiasa belajar memupuk rasa kasih sayang antara keluarga kita,” katanya.

 

Menyentuh pekembangan kerjaya pula, Nieyl menyatakan dia gembira apabila taruhan single duetnya bersama Sabhi Sadhi berjudul Kisah Kita membuahkan hasil apabila mencecah 1 juta tontonan di Youtube selain sering mendapat permintaan di radio dan menduduki carta muzik tempatan. Ia sekaligus menyifatkan ia adalah pencapaian terbaiknya selepas hampir tiga tahun tidak aktif menyanyi.

 

“Tak sangka lagu tu diterima ramai selepas hampir tiga tahun saya tidak muncul dengan apa-apa single. Sekarang ini saya sedang dalam proses mencari lagu baru pula.

 

“Lagipun sekarang saya mahu kembali aktif menyanyi sebab sebelum ini saya fokus menguruskan anak dan rumah tangga.

 

“Sekarang anak saya pun sudah besar dan boleh lah saya kembali tumpukan pada karier. Alhamdulillah suami saya juga tidak menghalang saya bekerja. Tapi walaupun saya menyanyi semula, keluarga tetap keutamaan saya,” katanya.

 

Nieyl berkahwin dengan ahli perniagaan yang juga merupakan Exco Pemuda Umno Malaysia,  Dazma Shah Daud pada 15 Januari 2006.

 

Selain itu Nieyl juga berjinak-jinak dengan perniagaan tudung koleksi jenamanya sendiri.

 

“Saya minat berniaga dan mula berjinak-jiank dalam perniagan tudung. Sebenarnya ada terima tawaran berlakon tapi saya menolak kerana tida saya rasa saya memang tak pandai berlakon lagipun saya tak ada jiwa dalam bidang lakonan,” katanya yang mula mengenakan hijab sejak tahun 2011.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.