David Cameron Lawat Malaysia Hari Ini

Perdana Menteri United Kingdom, David Cameron akan melakukan lawatan kerja ke Malaysia hari ini sempena lawatan beliau ke rantau Asia Tenggara.

 

Wisma Putra dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi berkata Cameron dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala bagi membincangkan pelbagai isu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

 

“Kedua-dua pemimpin akan meneliti isu hubungan dua hala termasuk dalam sektor perdagangan dan pelaburan, pendidikan dan pertahanan serta kerjasama dalam rangka kerja Komanwel dan Pertubuhan Bangsa Bersatu,” kata kenyataan itu.

 

Kedua-dua perdana menteri juga dijangka membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang menyentuh kepentingan bersama. Cameron juga dijadualkan menghadiri satu forum perniagaan di Kuala Lumpur.

 

Menurut kenyataan itu, Cameron akan menjadi perdana menteri United Kingdom yang pertama melawat ke Malaysia berturut-turut dalam dua penggal.

 

Lawatan terakhir beliau ke Malaysia adalah pada April 2012. Lawatan ini jelas mempamerkan hubungan rapat dan mesra antara Malaysia dan United Kingdom.

 

Cameron akan diiringi Menteri Perniagaan, Inovasi dan Kemahiran, Sajid Javid; Menteri Perdagangan dan Pelaburan, Lord Francis Maude; Menteri Perniagaan Kecil, Industri dan Perusahaan, Anna Soubry dan Menteri Perolehan Pertahanan, Philip Dunne dan delegasi 30 ahli perniagaan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.