DAP Jangan Terlalu Angkuh – Mohd Amar

Kota Bharu – PAS menyifatkan `saham’ mereka turut menyumbang ke atas kemenangan DAP di Pulau Pinang dan menasihatkan pemimpin mereka supaya jangan terlalu angkuh.

 

Pemimpin DAP juga diingatkan supaya sedar mereka menang bukannya atas usaha mereka semata-mata.

 

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, semua pihak ada sumbangan masing-masing kepada kemenangan itu dan apabila Pakatan Rakyat (PR) berpecah, semua pihak akan rugi. Itulah yang DAP perlu ingat.

 

“Orang Melayu undi DAP kerana ada PAS bersama mereka. Apa yang kita bimbang apabila PAS disisihkan, mereka pula turut disisihkan pengundi Melayu.

 

“Sekiranya DAP mengatakan kita akan kalah dalam PRU-14…bagi kami itu semua ketentuan tuhan dan tidak ada orang yang boleh tentukan mesti kalah atau menang. Kita hanya boleh merancang, berusaha dan berkerja,” katanya menjawab isu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang meramalkan PAS bakal kalah teruk pada pilihan raya umum akan datang.

 

Katanya apa yang dibimbangkan ialah DAP pula yang akan hilang kuasa di Pulau Pinang.

 

Mohd Amar menegaskan DAP sebenarnya terlalu banyak cakap.

 

“Guan Eng sepatutnya belajar untuk `reserve’ sikit dengan kenyataan-kenyataannya dan jangan selalu bercakap sebab terlalu banyak bercakap kadang kadang boleh menyusahkan.

 

“Jika beliau mengatakan PAS baik dengan UMNO…apa yang PAS baiknya, PAS baik dengan semua orang, dengan DAP pun kita baik,” katanya dengan nada sinis.

 

Sementara itu mengulas mengenai perlantikan dua timbalan menteri dari Kelantan ( Datuk Ahmad Jazlan Yaakob dan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) Mohd Amar menyatakan tidak tahu daripada sudut mana dan apa asas pemilihan dilakukan.

 

Katanya pada pandangan PAS Kelantan ianya tidak memberi kesan kepada senario politik negeri Kelantan.

 

“Sekiranya ia dikatakan bertujuan untuk mengukuhkan UMNO di Kelantan, saya tidak nampak dua orang tokoh ini boleh beri sumbangan yang besar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.