Curi Beg Tangan Kenalan WeChat, Lelaki Dijatuhi Hukuman Denda

KUALA LUMPUR – Gara-gara keluar dengan rakan lelaki yang baharu dikenali empat hari lalu melalui aplikasi WeChat, seorang wanita kehilangan beg tangannya yang dicuri kenalannya itu.

 

Bagaimanapun, tindakan lelaki itu membawa padah apabila dia dijatuhkan hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

 

Majistret Nur Azura Murah menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Amiruliqram Jafri, 20, selepas mengaku bersalah mencuri beg tangan milik Wan Nor Hidayah Wan Mohd Amin, 21, yang di dalamnya mengandungi dompet berisi wang tunai RM70, dua buah telefon bimbit dan dua utas jam tangan yang kesemuanya  bernilai RM1,400.

 

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

 

Muhammad Amiruliqram didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan Sembilang, sebelah stesen Petronas Jalan Tenaga, Cheras, di sini pada pukul 2 petang, 28 Julai lalu.

 

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

 

Mengikut fakta kes, tertuduh yang mengadakan pertemuan pertama dengan mangsa telah menjemput wanita itu untuk keluar bersama.

 

Dalam perjalanan, tertuduh yang memandu kereta berhenti di sebuah stesen minyak dan meminta mangsa membeli gula-gula dengan memberinya wang berjumlah RM4.

 

Bagaimanapun sebaik mangsa selesai membeli gula-gula, dia mendapati tertuduh telah melarikan diri bersama beg tangan mangsa yang ditinggalkan dalam kereta itu.

 

Ketika rayuan Muhammad Amiruliqram, yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda kerana dia perlu menjaga keluarganya.

 

Timbalan Pendakwa Raya Ezrene Zakariah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal supaya tertuduh tidak mengulangi perbuatan itu. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.