Batal Mesyuarat Untuk Elak Perbahasan Hangat – Bung Mokhtar

Kuala Lumpur – Langkah membatalkan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Jumaat ini ialah bagi mengelak terjadinya perbahasan hangat susulan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri dalam rombakan Kabinet semalam.

 

Salah seorang anggota MT, Datuk Bung Moktar Radin berkata, langkah tersebut perlu diambil Umno untuk meredakan keadaan dengan mengambilkira situasi semasa senario politik parti utama kaum Melayu tersebut.

 

“Apabila ada pembatalan, bermakna ada sedikit yang perlu diperbetulkan.

 

“Mungkin mengelak ada ketegangan di kalangan pemimpin Umno itu sendiri, jadi kita perlu redakan keadaan dengan bagi semua tenang dahulu,” katanya kepada portal TMI.

 

Kemelut dalaman Umno dijangka meletup sebaik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan rombakan Kabinet semalam di mana Muhyiddin, yang juga timbalan presiden parti, dan Datuk Seri Shafie Apdal, naib presiden, dipecat.

 

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengumumkan pembatalan mesyuarat itu pada ketika Najib menjadi tumpuan selepas tindakan drastik memecat dua pemimpin kanan Umno itu.

 

Muhyiddin dan Shafie difahamkan akan menggunakan saluran parti tertinggi parti itu untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap Najib.

 

Namun, langkah itu terhalang dengan pengumuman terbaru ini.

 

Malah, Muhyiddin dan Shafie kini tidak lagi diundang ke majlis perasmian mesyuarat bahagian susulan keputusan mereka membatalkan jemputan.

 

Bagi Bung, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, hanya dalam keadaan tenang sesuatu perbincangan dapat berjalan dengan baik dan mudah diselesaikan.

 

“Apabila tenang, banyak perkara yang boleh kita bincang. Tapi kalau suasana tegang dan hangat, perbincangan yang baik pun jadi tidak baik,” katanya.

 

Sementara itu, sumber dalam parti menjangkakan Najib mempunyai rancangan lebih besar ke atas kedua-dua pemimpin kanan Umno itu selepas membuat keputusan berani tersebut.

 

“Beliau (Najib) ada perancangan tersendiri, seperti ada sesuatu yang besar yang dirancang oleh Najib,” katanya kepada portal tersebut.

 

Sumber itu juga tidak menolak kemungkinan Najib menunggu hingga situasi reda sebelum mengambil satu lagi keputusan, iaitu memecat Muhyiddin dan Shafie dari Umno.

 

“Mungkin beliau mahu redakan satu persatu. Bila sudah reda yang ini, mungkin baharu Najib akan buat langkahnya pecat kedua-dua mereka,” katanya. – The Malaysia Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.