Apa Hak Muhyiddin Untuk Tahu Akaun Kewangan Najib?

Kuala Lumpur – Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai hak untuk mengetahui status kewangan peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Perkara itu ditegaskan oleh Penasihat Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Tun Faisal Ismail Aziz yang menegaskan, wang yang masuk ke dalam akaun peribadi seseorang itu adalah hak individu dan ia tidak perlu didedahkan kepada pengetahuan umum.

 

“Duit yang masuk ke dalam akaun peribadi, itu hak dan rahsia peribadi individu yang tidak perlu diisytiharkan kepada orang ramai. Sama seperti duit yang masuk ke dalam akaun peribadi kita,” katanya.

 

Menulis di blog www.tunfaisal.blogspot.com, Tun Faisal menyatakan seseorang itu hanya perlu mengisytiharkan wangnya jika ada tuduhan yang datang daripada sumber meragukan, namun perkara tersebut hanya perlu diumumkan kepada penyiasat.

 

“Lainlah jika ada dakwaan duit itu datang daripada sumber yang salah. Barulah seseorang itu perlu membuat perisytiharan, tetapi bukan kepada umum,” katanya.

 

Jelas bekas Exco Pemuda UMNO itu lagi, apabila ada pihak yang hendak memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun peribadi seseorang sebagai bantuan dana politik, itu adalah bantuan kepada individu berkenaan.

 

“Terserahlah bagaimana dia hendak menggunakannya asalkan ia bukan untuk tujuan yang menyalahi undang-undang sebab itu dana politik peribadinya.

 

“Sama ada individu itu hendak menggunakannya bagi membantu orang, hendak diberikan kepada jentera atau apa saja, itu adalah hak beliau,” katanya.

 

Jelas beliau lagi, tidak ada bukti bahawa wang yang diterima oleh Najib itu datang daripada dana negara.

 

“Dalam kes akaun peribadi Perdana Menteri, duit dikatakan datang dari sumber 1MDB dan hasil pelaburan usaha sama dengan PetroSaudi.

 

“Dalam hal ini, penyiasat boleh merujuk penyata akaun dan dokumen daripada 1MDB dan PetroSaudi, sama ada benar duit dari sumber ini masuk ke dalam akaun peribadi Najib Razak atau tidak.

“Setakat ini penyata kewangan beraudit 1MDB dan PetroSaudi tidak menunjukkan duit itu datang daripada mereka,” ulasnya.

 

Kenyataan Tun Faisal dibuat selepas Muhyiddin dalam satu video yang dibocorkan berkata, Najib mengakui sejumlah AS$700 juta (RM2.6 bilion) dimasukkan ke dalam akaunnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.