Adi 6ixth Sense Tekad Tamat Zaman Bujang

Vokalis kumpulan 6ixth Sense, Adi, merancang untuk memohon status penduduk tetap (PR) di negara ini selepas melangsungkan perkahwinannya pada tahun depan.

 

Menurut penyanyi yang berasal dari Indonesia ini, dia sudah lama bercadang untuk mendapatkan status tersebut tetapi disebabkan dia perlu melalui pelbagai prosedur justeru hasratnya itu ditangguhkan.

 

“Ramai juga yang mencadangkan saya mohon PR untuk memudahkan saya menetap dan bekerja di sini. Cuma, disebabkan perlu melalui pelbagai proses permohonan itu yang membuatkan saya tangguh dulu.

 

“Lagipun saya belum betul-betul jelas mengenai bagaiamana proses permohonan tersebut. Ada juga kenalan mencadangkan lebih baik saya buat permohonan selepas berkahwin saja.

 

“Jadi, insha Allah saya akan teruskan hasrat itu sebaik saja selepas berkahwin nanti,” katanya kepada Malaysian Digest ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Indigital Sdn Bhd, baru-baru ini.

 

Dalam pada itu, ditanya mengenai persiapan perkahwinannya, pemilik nama sebenar Adi Priyo Sambodo ini berkata, dia belum membuat sebarang persediaan mengenai majlis pernikahannya tetapi tetap nekad mahu menamatkan zaman bujang tahun hadapan.

 

Kata Adi, dia dan pilihannya hatinya yang dikenali sebagai Annes memilih untuk tidak mengikat tali pertunangan kerana merasakan alam pertunangan berdepan dengan banyak dugaan dan cabaran.

 

“Dia lebih muda daripada saya, umurnya 21 tahun berasal dari Kuala Lumpur. Perkenalan kami tidak lama, hampir setahun.

 

“Namun, saya sudah lama bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami dan memang banyak hal yang perlu diuruskan dan ia mengambil masa.

 

“Kami pilih tidak bertunang sebab bertunang banyak dugaan. Jadi, terus nikah saja,” tuturnya.

 

Tambahnya, dia juga sudah bertemu dengan keluarga kekasihnya itu dan hubungan mereka mendapat restu begitu juga dengan keluarga sendiri di Indonesia yang merestui pilihannya itu meskipun Adi belum berkesempatan memperkenal bakal isterinya kepada keluarganya.

 

“Saya sudah jumpa keluarga keaksih saya cuma saya belum berpeluang bawa dia pulang dan berjumpa dengan keluarga saya di Indonesia.

 

“Alhamdulillah, keluarga saya merestui hubungan kami. Selepas nikah nanti baru saya bawa dia pulang ke sana,” katanya.

 

Sementara itu, Adi berkata, 6ixth Sense kini dalam proses menyiapkan single terbaru yang akan dilancakan tidak lama lagi dan juga proses merakamkan album baharu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.