Tok Ram Ibarat Emas Kata Nabil

Gandingkan Ramli yang mesra dipanggil Tok Ram dan Nabil dalam sebuah fotografi khas di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, lelaki berusia 58 tahun itu menolak untuk bergaya dengan busana raya, sebaliknya hanya mahu dipotretkan dalam pakaian yang menjadi pilihannya untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Ramli memilih memakai kurta putih bersama kali pelekat dan kopiah, manakala Nabil menyarung jubah Nabil by Jakel yang menurutnya sangat selesa dipakai pada pagi raya.

Ujar Ramli, berbusana baju Melayu, jubah atau kurta misalnya hanyalah satu budaya dan setiap individu berhak untuk memilih jenis pakaian yang mahu digayakan sepanjang Aidilfitri.

“Namun, apa yang penting ia mesti bersih dan molek kerana kita meraikan hari kemenangan iaitu hari raya,” tekannya lagi, seperti memetik Kosmo.

Menyambut Aidilfitri di Singapura, kata Ramli sejak sekian lama itulah tradisi yang diamalkannya. Merupakan anak kedua daripada 10 adik-beradik, beliau tidak mahu terlepas momen meraikan hari bahagia tersebut di samping ibu tercinta dan adik-beradik yang lain.

“Kita kena jaga budaya dan keindahan bertemu seluruh ahli keluarga pada bulan mulia ini. Walaupun ia hanya sambutan setahun sekali, namun pertemuan ini penting kerana mampu menjernihkan banyak ketegangan yang barangkali kita tidak perasan dan ia boleh diperbaiki dengan saling bermaafan pada pagi hari raya,” ujar suami kepada penyanyi Alyah itu yang menyifatkan pulang ke kampung halaman sebagai satu kemestian.

Ramli kemudian melanjutkan bicara bahawa beliau selalu menyukai amalan ziarah-menziarahi berbanding menonton lambakan program raya di televisyen sepanjang musim perayaan. Katanya, barangkali kerana sewaktu zaman kecilnya menyambut perayaan, beliau sama seperti kanak-kanak seusianya yang akan pergi dari sebuah rumah ke kediaman lain untuk mengutip duit raya.

“Dahulu keluarga saya miskin, televisyen pun tiada di rumah. Jadi, aktiviti hari raya kami adalah berdedai-dedai ke rumah orang minta duit raya, bukannya leka tengok televisyen. Sebab itu saya lakukan budaya yang sama iaitu budak-budak yang datang ke rumah memang akan disediakan duit raya untuk mereka kerana ia memberi kegembiraan yang tidak kita jangka,” katanya sambil ketawa terkenangkan memori raya sewaktu kecilnya.

Bagi Nabil yang baru pulang daripada menunaikan umrah buat kali keempat pada 23 Jun lalu bersama isterinya, Nazirah Ayub menjelaskan, sambutan Aidilfitri tahun ini berlangsung secara sederhana. Mengikut rutin tahunan seperti biasa, Nabil pulang beraya di tiga lokasi iaitu di Klang, Selangor; Seremban, Negeri Sembilan dan Sungai Siput, Perak.

Bercuti raya hanya selama enam hari, Nabil harus segera kembali bekerja kerana terlibat dalam kempen Negaraku yang akan menjelajah ke seluruh negara.

“Alhamdulillah tahun ini masih ada rezeki untuk saya menunaikan umrah pada 10 malam terakhir Ramadan. Sejak kali pertama merasa umrah pada Ramadan empat tahun lalu, saya menjadi ketagih untuk ke sana. Oleh itu, raya secara sederhana kerana cuti tidak panjang. Asalkan seisi keluarga gembira terutama anak-anak, itu sudah memadai,” kata Nabil yang bakal muncul dengan beberapa buah program raya seperti Nabil, Tok Ram & Friends dan Gegar Vaganza Kirim Salam Raya.

Hubungan

Menyentuh tentang hubungan mereka, laju masing-masing meluncurkan pendapat.

Mula akrab sejak tahun 2014, Ramli memberi metafora hubungannya dengan Nabil umpama dialog-dialog dalam filem Allahyarham P. Ramlee yang kedengaran kasar dan penuh maki hamun.

“Di hadapan kamera, saya dan Nabil umpama memainkan seni lakonan dalam cerita. Kami bekerjasama dengan kreativiti untuk menghidupkan suasana, jadi adakalanya khalayak melihat gurau atau bicara kami sebagai kasar, ironinya tidak,” ujar Ramli.

Beliau kemudian menyifatkan Nabil sebagai individu yang komited terhadap kerjayanya dan begitu menghormati orang lain.

“Apa yang dipaparkan dalam televisyen adalah satu seni, hakikatnya, di belakang tabir, Nabil begitu menghormati saya. Sebagai orang seni, saya memahami Nabil dan tidak pernah terasa dengan apa yang pernah dilontarkan kepada saya,” katanya lagi.

Sementara itu, Nabil juga mempunyai pandangannya tersendiri tentang Ramli.

“Selalunya orang kata Tok Ram nampak garang. Memang benar sebab beliau cukup serius apabila bekerja, tetapi ramai yang tidak tahu beliau juga boleh bergurau. Kadangkala gurauannya lebih dahsyat dan tidak terfikir dek akal termasuklah suka berteka-teki. Dalam bahasa mudahnya, kami sekepala,” ujar Nabil membuka bicara.

Biarpun gurauan kasar dan kurang sopan menjadi ikatan persahabatan mereka, jauh di sudut hati, Nabil amat menghormati Tok Ram.

“Saya akui, tidak kira dalam televisyen mahupun di belakang tabir, gurauan kami berdua memang agak kasar. Tok Ram amat terkenal dengan sikap berterus-terang, tetapi beliau sebenarnya amat suka orang membalas setiap kata-katanya. Sebab, sebagai orang lama dalam industri seni, beliau cukup masak dengan perniagaan hiburan.

“Beliau tahu apa yang diinginkan penonton dan adakalanya, beliau yang memberi input kepada saya ketika menjayakan program Gegar Vaganza. Lawak kasar hanyalah permainan program dan cara kami berkomunikasi. Apapun, saya amat menghormati Tok Ram sebagai orang yang lebih tua,” terang Nabil.

Menyentuh tentang kontroversi lawak kasarnya dengan Ramli, Nabil mengakui tidak mahu mengendahkan kecaman masyarakat sehingga kisah mereka menjadi tular. Sebaliknya, dia lebih bimbang jika orang ramai tidak mempedulikan kontroversi berkenaan.

“Saya lagi takut jika orang buat tidak endah. Sebab jika sesuatu isu menjadi perbualan dan tular, maknanya ramai orang sedang penonton program tersebut. Saya suka situasi tersebut kerana ada sahaja cerita yang boleh ditulis oleh pihak media daripada tiada cerita langsung.

“Maknanya juga tarikan program Gegar Vaganza bukan sekadar peserta, tetapi juga orang menunggu keletah saya dan Tok Ram. Saya mahu setiap minggu penonton akan ingat dan tunggu depan televisyen. Alhamdulillah, resipi itu berjaya untuk Gegar Vaganza yang sudah pun masuk musim keempat,” luah bapa kepada dua orang anak itu.

Hal yang sama berlaku ketika sesi fotografi berlangsung. Biarpun pada mulut masing-masing terluncur ayat-ayat kasar, namun akui Nabil, dia cukup sayangkan lelaki berkarakter bengis itu yang diibaratkan begitu berharga seperti emas.

“Saya sayangkan Tok Ram. Bagi saya nilai beliau seperti emas. Andai kata beliau sudah tidak ada suatu hari nanti, tidak akan ada orang boleh menggantikan tempatnya. Beliau cukup unik dengan karakter, perangai dan ilmu muziknya. Hanya akan ada seorang Tok Ram.

“Sebab itu saya rasa bertuah kerana bukan sahaja dapat bekerja, tetapi mempunyai hubungan rapat dengan orang hebat sepertinya,” ujar Nabil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.