Remaja Curi PS4 Di Pagi Raya


Shah Alam – Sekumpulan remaja belasan tahun memecah masuk sebuah kios di kompleks perniagaan di Seksyen 9, di sini, Ahad lalu.

Kios yang menjual peralatan mainan elektronik itu kerugian lebih RM3,000 selepas satu unit permainan jenama Sony PS4 berharga RM2,957 serta beberapa peralatan permainan dilarikan suspek, lapor Metro.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, dalam kejadian jam 9 pagi hari raya pertama itu, kebanyakan premis lain di kompleks berkenaan ditutup.

Menurutnya, pemilik kios hanya menyedari kejadian itu sebaik saja mahu membuka perniagaannya Selasa lalu.

“Kios itu terletak di bahagian IT (teknologi maklumat) di tingkat paling bawah,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) diperoleh menunjukkan imej empat remaja berusia belasan tahun dipercayai terbabit dengan kes berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut diteruskan bagi mengesan suspek,” katanya.

Dalam pada itu, gambar rakaman CCTV kejadian itu turut dimuat naik pengguna laman sosial Facebook (Fb) memaparkan gambar dua remaja lelaki termasuk seorang memakai baju Melayu berwarna hijau kebiruan yang dipercayai terbabit dengan kes itu.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.