Pemilik Kereta Klon Kantoi Di Hentian R&R Gunung Semanggol

BAGAN SERAI – Pemilik sebuah kereta klon jenis Honda Odyssey terpaksa berputih mata apabila kereta yang baharu dibelinya dijumpai sendiri oleh pemilik sebenar nombor pendaftaran kenderaan itu hari ini.

Kejadian di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol itu disedari apabila kedua-dua kereta tersebut mempunyai nombor pendaftaran yang sama.

Menyedari keadaan itu, pemilik sebenar kenderaan tersebut yang dikatakan seorang pegawai tentera bertindak menahan dan merampas kunci kereta klon lalu menghubungi polis.

Difahamkan, pemilik sebenar kereta tersebut digunakan oleh isteri pegawai tentera itu yang bertugas di Batu Pahat, Johor manakala pemilik kereta klon dari Subang Jaya, Selangor.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi enggan mengulas lanjut namun mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Sementara itu, gambar kedua-dua kereta yang mempunyai nombor pendaftaran yang diletakkan bersebelahan tular di laman sosial.

Sehingga pukul 10 malam tadi gambar tersebut mendapat perkongsian lebih 1,500 pengguna Facebook. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.