Cincin ‘Ajaib’ Atasi Rabun Warna

Kuala Lumpur – Masalah rabun warna yang dialami seseorang kini boleh dibantu dengan terciptanya alat unik oleh pensyarah Universiti Malaya, Prof Mahmoud Moghavvemi.

Alat yang diberi nama cincin ajaib itu berupaya membantu mereka yang buta warna mengenal pasti atau mengecam warna dengan lebih baik.

Prof Mahmoud berkata, masalah rabun warna yang sering mengganggu kehidupan seharian seperti memandu kereta atau suai padan pakaian adalah pencetus untuknya membangunkan alat itu.

“Buat masa ini, penggunaannya mudah iaitu dengan meletakkan cincin yang dipakai di atas warna yang hendak dikenal pasti.

“Selepas itu, sistem sensor yang dicipta di dalam alat itu akan mengesan warna yang disentuh hanya dengan menekan butang dan isyarat akan dihantar menerusi alat pendengar suara,” katanya.

Menurutnya, alat itu yang sudah mendapat paten sejak 2013 mampu mengesan 56 jenis warna setakat ini.

“Hasrat saya untuk membantu masyarakat yang berdepan masalah penglihatan kerana tidak dapat mengenal atau membezakan warna tertentu.

“Jenis dan tahap keseriusan rabun warna adalah berbeza daripada seorang individu dengan individu yang lain,” katanya.

Katanya, alat yang dicipta itu sangat ringan dan mudah dibawa ke mana-mana seterusnya dapat membantu supaya masalah penglihatan warna yang dihadapi seseorang diatasi dengan baik.

“Warna memainkan peranan penting dalam penglihatan manusia. Kecantikan alam akan lebih bermakna sekiranya kita dapat melihat dengan persepsi penuh bagi menghayati warna-warni dunia,” katanya.

Selain itu, katanya, pembangunan alat itu dibuat berdasarkan kepada kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengatakan 39 juta orang mempunyai masalah penglihatan warna di dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.