Budak Dilanggar Pemabuk Ketika Mahu Pulang Beraya

PERJALANAN pulang sekeluarga dari menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur terjejas selepas seorang daripada ahli keluarga tersebut terlibat dalam kemalangan di kawasan rehat di plaza tol Ipoh, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan empat tahun cedera di leher selepas dilanggar seorang lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

Menerusi satu rakaman video yang dikongsikan pembaca memaparkan seorang lelaki memandu kereta jenis Mercedes Benz sedang dikawal dua anggota polis dan orang ramai selepas didakwa menyebabkan kecederaan ke atas seorang kanak-kanak.

Pembaca yang enggan namanya didedahkan berkata, suspek dipercayai memandu dalam keadaan mabuk sebelum memasuki kawasan plaza tol Ipoh.

Menurutnya, suspek dipercayai melanggar sebuah kereta jenis Honda sebelum melanggar kanak-kanak malang tersebut.

“Suspek masuk ke kawasan rehat tersebut dan cuba membuat pusingan U dalam keadaan membahayakan.

“Ketika membuat pusingan U tersebut, suspek telah melanggar penghadang jalan menyebabkan ia pecah.

“Serpihan batu penghadang jalan tersebut terkena mangsa yang berada berdekatan dengan kawasan kejadian,” katanya.

Katanya, mangsa yang bersama keluarganya itu dalam perjalanan pulang ke Perlis dan berhenti rehat di kawasan tersebut sebelum meneruskan perjalanan.

Menurutnya, suspek berjaya ditahan orang ramai dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.