1,800 Pelajar Kurang Berkemampuan Terima Tuisyen Secara Percuma

ALOR SETAR – Dalam tempoh dua tahun, sebanyak 1,800 pelajar yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan di negeri ini diberikan peluang untuk mengikuti kelas tuisyen secara percuma menerusi Program Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) Pendidikan dan Modal Insan yang dikelolakan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri.

Menurut Pengerusi GPMS ne­geri, Shamsul Bahar Abd. Rani, tindakan itu menunjukkan betapa kerajaan negeri cukup memberi perhatian terhadap pembinaan generasi berilmu yang diharap mampu mengubah nasib keluarga pada masa akan datang.

“Tahun lalu cuma 600 pelajar yang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipilih mengikuti program ini. Melihat kejayaan­nya, ramai antara mereka mencatat keputusan memberangsangkan, kerajaan negeri mengambil keputusan menambah bilangan itu kepada 1,200 pelajar tahun ini dengan turut melibatkan yang mengambil peperiksaan utama lain seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Mereka yang mengikuti tui­syen percuma ini dipilih oleh Jabatan Pendidikan negeri (JPN) dengan cadangan daripada pengetua sekolah bersandarkan tiga syarat utama iaitu pendapatan seisi keluarga RM3,000 ke bawah, tiada masalah disiplin dan berpotensi dalam akademik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut katanya, program tersebut dijalankan di semua 15 Parlimen di negeri ini yang mana guru-guru yang me­ngajar dipilih dan dikenal pasti sebagai guru berdedikasi oleh JPN sendiri.

“Jika tahun lalu pembelajaran tuisyen percuma ini cuma melibatkan Matematik dan Bahasa Inggeris, tahun ini subjeknya ditambah lagi dua iaitu Sejarah dan Bahasa Melayu.

“Dalam tempoh sebulan, mereka akan mengikuti pembelajaran selama lapan jam secara percuma bagi setiap subjek terlibat. Selain menyiapkan mereka menghadapi peperiksaan, kelas tuisyen itu juga sebenarnya menjadi medan buat kami memantapkan jati diri pelajar bagi membantu para pelajar berdepan cabaran dunia luar,” katanya.

Tambahnya, selaku sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan ilmu kepada anak bangsa, GPMS tidak me­rasa keberatan membantu kerajaan negeri melaksanakan program tersebut, sementelah apa yang dilakukan itu sememang­nya selari dengan visi dan misi mereka.

“Selaku rakyat Kedah, saya fikir kita perlu bersyukur dan berterima kasih terhadap inisiatif kerajaan negeri ini. Belum pernah saya melihat program seumpama ini yang mana jabatan kerajaan, NGO serta masyarakat diberi pe­luang duduk bersama dalam keadaan cukup erat bagi menambah baik pembelajaran anak-anak,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut membidas pihak-pihak ter­tentu yang mempertikaikan u­saha tersebut semata-mata demi ke­pentingan politik mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.