Tiada Lagi Notis Awal Harga Bahan Api – Hasan Malek

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan membuat pengumuman lebih awal mengenai harga baharu petrol dan diesel setiap bulan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.

 

“Kami memutuskan untuk menghentikan amalan sebelum ini iaitu mengumumkan harga baharu pada hari terakhir setiap bulan.

 

“Mulai sekarang, pemilik kenderaan hanya akan tahu sama ada harga akan naik atau turun atau dikekalkan pada tengah malam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat sempena Hari Terbuka GST anjuran Pemuda Umno di sini, Selasa.

 

Bulan lalu, pengumuman harga minyak dibuat melalui laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

 

Bagi Jun, harga runcit petrol RON95 dan RON97 serta diesel naik 10 sen seliter berbanding Mei.

 

Harga RON95 ialah RM2.05 seliter, RON97 (RM2.35 seliter) manakala diesel (RM2.05 seliter).

 

Harga minyak sejak Disember lepas telah ditetapkan mengikut kaedah pengapungan terkawal yang mana tiada lagi subsidi bagi RON95 dan diesel memandangkan harga pasaran dunia lebih rendah berbanding harga di pam.

 

Sejak mekanisme itu dilaksanakan, harga minyak telah berubah sama ada meningkat dan menurun dari satu bulan ke satu bulan berikutnya. – Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.