Tahun Keempat Marsha Milan Londoh Berpuasa

KUALA LUMPUR – Ramadan kali ini adalah tahun keempat penyanyi, pelakon dan pengacara Marsha Milan Londoh, 30, berpuasa secara konsisten.

 

Dia tetap seronok menjalani ibadah itu terutama ketika bersahur dan berbuka.

 

Apa yang dilakukan itu seolah-olah memberi petanda bekas bintang Akademi Fantasia musim ketiga ini bakal memeluk agama Islam. Lebih-lebih lagi dia kini menjalin hubungan dengan jejaka Melayu berusia 28 tahun berasal dari Pulau Pinang.

 

“Saya berpuasa sebab menghormati kawan beragama Islam. Sejak menjadi artis dan berpindah ke Kuala Lumpur, saya dikelilingi rakan beragama Islam dan itu antara faktor saya berpuasa. Jadi apa yang saya lakukan sekadar memahami, lalui dan hormati,” katanya.

 

Dalam pada itu, Marsha dilihat lebih menyerlah sebagai pelakon walaupun bermula sebagai penyanyi.

 

Menyedari hakikat itu, dia nekad untuk mengurangkan aktiviti lakonan.

 

“Dari dulu lagi rancang nak buat album. Tak dapat album penuh, album mini pun jadi. Tapi setiap kali ke arah itu, banyak benda baru datang termasuk bidang pengacaraan. Jadi, hasrat itu tertangguh.

 

“Tahun ini, saya mahu lebih serius dan memberi sedikit masa dalam bidang nyanyian. Saya tetap mahu terbitkan album kompilasi yang memuatkan lagu yang pernah diterbitkan sebelum ini,” katanya yang popular dengan lagu Terakhir Kali dan Jujur Bilang Cinta. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.