PLKN 2.0 Tambah Elemen Pencegahan Awal Ancaman Militan

KUALA LUMPUR – Kerajaan berhasrat menambah elemen pencegahan awal ancaman militan dalam modul baharu Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2.0, Dewan Negara diberitahu hari ini.

 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata penambahan elemen berkenaan dalam modul baharu itu penting sebagai persediaan pelatih menghadapi fenomena ancaman keselamatan baharu seperti militan IS.

 

Bagaimanapun, katanya, perkara itu masih dalam peringkat kajian memandangkan fenomena IS yang menggunakan pendekatan media sosial dianggap satu cabaran besar untuk ditangani.

 

“Saya bersama anggota keselamatan dan agensi risikan antarabangsa masih meneliti dan menyelami fenomena IS ini dan sehingga kini tidak ada satu formula dapat menanganinya.

 

“Penularan melalui media sosial membawa kesan amat buruk di mana ia merentasi sempadan sehingga anak muda terpengaruh dan ia membelenggu bukan sahaja kita, malah negara yang jauh lebih maju daripada kita,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Zali Mat Yasin.

 

Sehubungan itu, Hishammuddin berkata kerajaan sedang giat meneliti tarikan yang mempengaruhi anak muda dan langkah bagi mencegah mereka daripada terbabit dalam militan itu.

 

Antara nilai tambah yang bakal dimasukkan dalam modul baharu berkenaan ialah menerapkan keamanan nilai sejagat dalam konteks landskap dunia ketika ini, katanya.

 

Dalam pada itu beliau berkata elemen kemahiran teknikal dan vokasional yang turut dimasukkan dalam modul baharu PLKN akan menjadi nilai tambah kepada pelatih supaya mudah mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan.

 

“Paling penting sijil baharu yang dikeluarkan ini ditambah nilai serta memenuhi kehendak pasaran.

 

“Jadi, tiada alasan untuk tidak menerima mereka bekerja dalam syarikat swasta masing-masing,” katanya. – BERNAMA

One thought on “PLKN 2.0 Tambah Elemen Pencegahan Awal Ancaman Militan

  • June 30, 2015 at 3:53 pm
    Permalink

    saya nak tanya tentang elemen tambahan dalam bidang kemahiran dan vokasional . di mana nak mohon sebagai tenaga pengajar ye ??

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.