Khalid Ibrahim Tiru Sikap Tun Mahathir, Kata Pemimpin PKR

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Wanita Keadilan, Haniza Mohd Talha menyamakan sikap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mendesak dua individu berasingan meletak jawatan.

 

Beliau berkata, desakan Khalid kepada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali untuk berundur daripada kedudukannya sebagai sama seperti tuntutan Dr Mahathir terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

 

“Tindakan Khalid mencabar Azmin meletak jawatan bagaikan sama dengan desakan Tun Mahathir.

 

“Langkah peniru seperti ini pasti tidak boleh menggugat pandangan baik orang ramai terhadap Azmin, sebaliknya menunjukkan betapa bekas Menteri Besar itu menjengkelkan dan tidak munasabah,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Taman Medan itu , menyatakan Khalid yang juga bekas Menteri Besar Selangor tiada kuasa untuk mengkritik Azmin, ketika dia sendiri tidak mampu menyelesaikan krisis air di negeri berkenaan.

 

“Sepanjang tempoh pimpinan Khalid sebagai Menteri Besar pada 2008-2014, dia juga tidak menyelesaikan isu air dan kini rancak mengkritik Menteri Besar sekarang tidak berbuat demikian,” katanya.

 

Haniza berkata, Azmin melakukan tugas luar biasa sambil mengakui bahawa Menteri Besar itu terpaksa menjawab masalah yang tidak diselesaikan dan ditinggalkan pentadbiran Khalid. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.