Israel Rampas Kapal Bantuan Ke Gaza

RAMALLAH – Israel didakwa merampas dan mengambil alih kapal yang sedang dalam usaha untuk memecahkan sekatan haram di wilayah Palestin.

 

Menurut jurucakap kapal misi bantuan kemanusiaan, Petros Stergiou, penganjur terputus hubungan dengan kapal utama Marianne sekitar pukul 2 pagi (waktu tempatan) semalam, selepas tiga bot tentera menghampiri kapal itu.

 

“Kami dapati tentera laut Israel menyerang Marianne kira-kira 100 batu nautika dari pantai Gaza. Sekali lagi, kerajaan rejim zionis dan tenteranya telah bertindak seperti lanun dan menyerang bot kami di perairan antarabangsa,” katanya.

 

Jurucakap tentera Israel, Peter Lerner dalam satu kenyataan berkata, rampasan kapal Marianne berjalan lancar kerana tidak menggunakan kekerasan dan ia kini diiringi ke Ashdod di selatan negara itu.

 

Sementara itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memuji tindakan tenteranya menahan kesemua penumpang di atas kapal.

 

“Kapal ini hanyalah demonstrasi pembohongan yang hanya membantu organisasi pengganas Hamas dan mengabaikan semua kekejaman di rantau ini,” menurutnya.

 

Kapal tersebut merupakan sebahagian daripada Freedom Flotilla III, iaitu konvoi empat kapal yang membawa aktivis pro-Palestin termasuk Ahli Parlimen Arab, Basel Ghattas, bekas presiden Tunisia, Moncef Marzouki dan Ahli Parlimen Eropah. – al-Jazeera

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.