Islam Itu Sederhana, Jangan Jadi Gay Atau Isis, Kata Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menyeru umat Islam negara agar mengamalkan konsep kesederhanaan dalam Islam dan tidak menjadi terlalu ekstrem atau longgar.

 

Berucap pada program majlis penerapan nilai murni di bulan Ramadan anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Lumpur hari ini, Najib berkata, nilai-nilai Islam seharusnya menjadi amalan kerana Islam adalah agama yang menjurus kepada kedamaian.

 

“Islam agama menjurus kedamaian. Islam bukan agama yang ganas. Islam agama yang ajak kita menjurus kepada kesederhanaan.

 

“Tidak terlalu ekstrem, tidak terlalu longgar, sehingga kita adakan ‘gay parade’, dan tidak terlalu ekstrem, maknanya kefahaman ideologi Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) ditolak sepenuhnya kerana ia bertentangan dengan Islam, bertentangan dengan kemanusiaan, bertentangan dengan nilai-nilai murni.”

 

Najib berkata, meskipun dalam peperangan, umat Islam diharamkan daripada membunuh orang awam.

 

“Apatah lagi waktu aman, membunuh orang semata-mata alasan perbezaan kulit agama, malah antara orang Islam pun pembunuhan berlaku di bulan Ramadan, seperti di negara Kuwait, di Tunisia, di Perancis.

 

“Apa mesejnya, ada kefahaman songsang menular dalam masyarakat kita.”

 

Sehubungan itu, Najib turut merakamkan penghargaan kepada PDRM kerana atas usaha mereka, keselamatan dan keharmonian negara dapat dipelihara.

 

“Dari segi kerajaan, kita amat hargai peranan PDRM untuk menjaga keselamatan dan keharmonian.

 

“Alhamdulillah, tidak ada kejadian keganasan dalam negara kita dari segi ideologi.”

 

Najib turut berkata, sejak program transformasi negara diperkenalkan dalam pentadbirannya, kesan ketara penurunan kadar jenayah dapat dilihat.

 

“Sejak dasar transformasi negara dilakukan, kita letakkan pengurangan jenayah, jenayah kini berkurang 40%. Jenayah curi kereta turun 20%… kalau tidak percaya tanya syarikat insurans.” – M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.