KUALA LUMPUR – Umno memandang serius niat peletakan jawatan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai ahli MKT Umno dan Ketua Umno Bahagian Kota Raja sekali gus selaku ahli Umno untuk menyertai PKR.
Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, adalah amat tidak wajar untuk mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti-parti lain sewenang-wenangnya.
“Merujuk kepada kenyataan Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di dalam laman sosial peribadi beliau, Umno sehingga saat ini belum menerima secara rasmi surat peletakan jawatan beliau.
“Umno memandang serius niat peletakan jawatan beliau kerana ingin menyertai PKR.
“Ini bagi mengelakkan berlakunya ketidakharmonian di kalangan parti-parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan hingga tercetus pula prejudis dan prasangka berterusan mengenai tahap kesetiakawanan, keikhlasan dan kejujuran sesama sendiri di kalangan ahli akar umbi,” katanya.