KUALA LUMPUR – Bekas jurubank Goldman Sachs Group Inc., Tim Leissner yang dihukum penjara dua tahun oleh mahkamah di New York semalam berikutan peranan pentingnya dalam skandal 1MDB memohon maaf kepada rakyat Malaysia.
Lapor Reuters, Leissner mengakui dan menyesali kesilapannya.
“Pertama kali, saya memohon maaf secara tulus ikhlas kepada semua rakyat Malaysia.
“Saya amat menyesali dengan perbuatan saya,” katanya.
Pihak berkuasa Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menganggarkan AS$4.5 bilion (RM19 bilion) dicuri dari 1MDB melibatkan pegawai peringkat tertinggi dalam dana itu.
Ketua Hakim, Margo Brodie menyifatkan tindakan Leissner biadab dan berani serta kesalahannya tidak boleh diterima kerana melibatkan rasuah di peringkat tertinggi di beberapa negara.
Leissner mengaku bersalah pada 2018 bagi konspirasi melanggar Akta Amalan Rasuah Asing dan menyertai konspirasi pengubahan wang haram.
Sementara itu mengulas perkembangan itu, tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin berkata, Tim Leissner dipenjara.
“Dia minta maaf kepada rakyat Malaysia.
“Di sini sibuk nak bebaskan yang dipenjara,” bidasnya.