KUALA LUMPUR – Keputusan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz meninggalkan UMNO untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus mengundang reaksi panas daripada akar umbi parti.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyifatkan langkah Zafrul itu sebagai satu bentuk “pengkhianatan berdarah dingin” terhadap parti yang telah mengangkatnya ke posisi berprofil tinggi dalam kerajaan.
“Beliau bukan sahaja gagal mempertahankan maruah parti, malah dengan selamba menikam belakang jentera yang selama ini menyokongnya. Ini bukan silap langkah, ini pengkhianatan berdarah dingin,” katanya tegas dalam satu kenyataan.
Shaiful berkata, memandangkan Zafrul kini menganggotai kabinet atas kuota UMNO, adalah wajar beliau melepaskan jawatan menteri sekiranya masih menjunjung nilai integriti.
Mengulas lanjut, Shaiful menyuarakan harapan agar kepimpinan PKR tidak membuka pintu kepada Zafrul, kerana penerimaan itu akan mencemari semangat kebersamaan dalam kerajaan perpaduan yang sedang cuba dibina.
“Jika diterima, ia menjadi satu ‘duluan’ yang merosakkan semangat setiakawan dalam kerajaan perpaduan,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa budaya ‘lompat parti’ dalam kalangan parti gabungan bukan sahaja melemahkan kepercayaan, tetapi akan membuka ruang kepada permainan politik yang tidak matang dan merosakkan kestabilan negara.
“UMNO Kedah menolak budaya lompat parti sesama rakan gabungan. Ini bukan politik matang, ini politik luar tabii merosakkan,” tambahnya lagi.
Shaiful juga menegaskan bahawa UMNO bukan platform untuk dijadikan “alat” oleh mana-mana individu demi kepentingan peribadi atau kerjaya politik.
“UMNO bukan tempat persinggahan, UMNO bukan alat dijadikan batu loncatan dan bagi mereka yang mengkhianati, tiada ruang untuk dimuliakan semula dalam sejarah perjuangan parti ini,” tegas beliau.