KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau bukan seorang pemimpin diktator yang sewenang-wenangnya mengarahkan mana-mana individu ditahan atau disiasat.
Kata Anwar, pendakwaan terhadap sebarang kes rasuah hanya boleh dilakukan dengan bukti, mengikut prosedur dan bukan berdasarkan arahan semata-mata.
“Saya bukan diktator yang (mengarah) tangkapan serta-merta. Saya tidak mahu menjadi Perdana Menteri yang bersikap ‘Oh kita mesti tangkap’ atau ‘kita mesti dakwa’.
“Hakikatnya, perjuangan menentang rasuah mesti dijalankan di semua peringkat,” katanya ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, di Penampang pada Jumaat.
Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Mengulas lanjut, Anwar menyatakan beliau mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan keamanan dan menegakkan undang-undang namun bukan sehingga ke tahap mendakwa tanpa siasatan dan bukti.
Dalam pada itu, Anwar turut mengulas mengenai video yang mengaitkan menteri dan ADUN dalam skandal prospek perlombongan.
“Saya mahu terus-terang. Apa gunanya hanya berkata perkara yang manis sahaja?
“Tetapi apabila keadaan menjadi lebih hangat, sudah tentu saya bertanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenainya.
“Orang mempersoalkan mengapa saya tidak campur tangan seolah-olah menggambarkan saya cuba menutup dakwaan rasuah itu.
“Kita bukan negara yang berpandukan persepsi. Perkara-perkara ini tidak boleh ditangani berdasarkan persepsi, tuduhan dan fitnah,” katanya sambil menambah bahawa siasatan menyeluruh sedang dijalankan, lapor BH di Sabah.
Sementara itu, Anwar menggesa semua pemimpin negeri dan masyarakat Sabah supaya bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk mempertahankan kedaulatan, meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan memperjuangkan hak serta hal-hal lain berkaitan kesejahteraan rakyat.