KOTA KINABALU — Selaras dengan halatuju kepimpinan baharu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah akan memperkukuh haluan baru menerusi proses rundingan konstruktif bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang akan datang.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Datuk Mustapha Sakmud berkata, pihaknya akan terus menyumbang ke arah pembangunan dan kemakmuran Sabah di bawah gabungan PH serta membuka ruang kerjasama bersama parti-parti lokal dan nasional.
“Kami bertekad untuk terus menyumbang secara positif ke arah pembangunan dan kemakmuran Sabah di bawah gabungan PH serta membuka ruang kerjasama bersama parti-parti lokal dan nasional.
“Matlamat kami selaku anak-anak Sabah adalah untuk memperkasa hak dan pembelaan negeri demi memberi manfaat terbaik kepada rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga merupakan Presiden PKR atas keyakinan yang diberikan dalam meneruskan peranan dalam kepimpinan PH Sabah.
“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pelantikan semula sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), satu amanah besar dalam mengemudi PKR Sabah menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang akan datang,” katanya.