Masalah air UMS berpunca dari Jabatan Air Sabah – Rahman Dahlan

- Advertisement -

KOTA KINABALU, – Universiti Malaysia Sabah (UMS) mempersoalkan keupayaan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dalam memastikan bekalan air bersih yang mencukupi ke kampus induknya, susulan kenyataan JANS bertarikh 29 Mei 2025 berhubung status operasi Tangki R13.

Menurut kenyataan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan, paras air di Tangki R13 yang merupakan sumber utama bekalan air ke UMS sering kali berada di bawah tahap minimum dan tidak konsisten, sekali gus menjejaskan operasi pengepaman ke dalam sistem dalaman kampus.

“Bukti bergambar serta data paras air telah direkodkan oleh UMS sebagai dokumentasi rasmi dan boleh dikemukakan kepada JANS untuk rujukan lanjut,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa meskipun JANS menyatakan sebanyak 34 juta liter air sehari dibekalkan ke tangki tersebut, kapasiti sebenar yang sampai ke UMS tidak mencukupi kerana Tangki R13 turut menyalurkan air ke kawasan lain seperti Sepanggar, KKIP, Hospital Likas dan taman-taman perumahan.

“Untuk makluman, tangki R13 ini bukan eksklusif kepada UMS sahaja… Ini bermakna bukan semua 34 juta liter sehari itu untuk UMS,” jelas beliau lagi.

Situasi ini, menurut beliau, menyebabkan UMS tidak dapat mengepam air secara berkesan, terutamanya pada waktu puncak, walaupun pam sedia ada masih berfungsi.

“Jadi masalah air di UMS ini bukan kerana sistem pam UMS yang tidak efektif, tetapi kerana aras air dalam tangki R13 tidak mencukupi untuk dipam,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman memaklumkan bahawa UMS telah mengambil langkah-langkah mitigasi sendiri bagi mengurangkan kesan gangguan air di kampus, termasuk membina tangki imbangan baharu berkapasiti 3.5 juta liter sehari, menggunakan sumber alternatif seperti telaga tiub (tubewell), dan bekerjasama dengan JANS untuk penyediaan bantuan lori tangki serta agihan air minuman berbotol.

UMS turut menyambut baik perkembangan projek Loji Rawatan Air Telibong 2 Fasa 2, yang dijangka akan membekalkan sehingga 80 juta liter sehari apabila siap sepenuhnya dalam dua bulan akan datang.

“Saya yakin jika bekalan air dari loji rawatan air Telibong 2 Fasa 2… sudah mula disalurkan, isu gangguan bekalan air di UMS… akan selesai,” katanya dengan penuh harapan.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa penyelesaian jangka panjang perlu disertai penyelarasan teknikal yang menyeluruh dan berdasarkan fakta lapangan, bukan semata-mata laporan statistik di atas kertas.

UMS menutup kenyataan itu dengan mengulangi komitmen institusi terhadap kebajikan pelajar yang terkesan secara langsung akibat isu ini.

“UMS kekal komited menjadikan kebajikan pelajar sebagai keutamaan utama,” katanya.

Kenyataan ini memberi gambaran bahawa walaupun UMS bersedia bekerjasama secara profesional dengan pihak berkuasa negeri, universiti tersebut juga menuntut ketelusan dan tindakan konkrit demi memastikan ribuan warga kampus tidak terus dibelenggu masalah asas seperti bekalan air. -Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat