Moscow, – Malaysia menegaskan pendiriannya menyokong konsep keselamatan yang adil, inklusif dan bebas daripada dominasi kuasa besar dalam sidang keselamatan antarabangsa yang berlangsung di Moscow.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menyuarakan pendirian itu semasa menyertai sesi plenari bertajuk Shaping Architecture of Equal and Indivisible Security sempena Mesyuarat Ke-13 Wakil Tertinggi Bagi Hal Ehwal Keselamatan Antarabangsa (13th HROSM) yang dipengerusikan Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov.
Persidangan itu menghimpunkan wakil dari 114 negara, dan turut disertai Presiden Rusia, Vladimir Putin yang menyampaikan ucapan pembukaan secara maya.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Dr. Shamsul menegaskan bahawa keamanan sejati tidak boleh dicapai melalui sekatan atau eksklusiviti blok kuasa, tetapi harus dibina atas asas dialog, kerjasama dan pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa.
Malaysia, katanya, menjunjung tinggi prinsip ASEAN Centrality dan ZOPFAN sebagai asas kestabilan di rantau Asia Tenggara. Konsep keselamatan yang dibawa Malaysia turut meliputi aspek keadilan sosial, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan ekonomi rakyat.
Beliau turut menggesa reformasi menyeluruh terhadap Majlis Keselamatan PBB bagi memastikan suara negara membangun, khususnya dari Selatan Global, diberi tempat yang sewajarnya dalam menentukan hala tuju dunia.
Malaysia, tambah beliau, kekal komited untuk menjadi rakan kongsi yang setara kepada semua negara dalam membina dunia yang aman, adil dan sejahtera.- Suara.TV