KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) bersikap terbuka dan bersedia mengambil tanggungjawab dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan sekiranya Perdana Menteri memilih wakil daripada parti itu untuk mengisi sebarang kekosongan yang timbul.
Menurut Pengarah Pilihan Raya Amanah Nasional, Sany Hamzan, keputusan untuk melantik mana-mana individu ke dalam Kabinet adalah kuasa penuh Perdana Menteri, termasuk jika calon berkenaan bukan ahli Dewan Rakyat.
“Ada orang tanya saya, apa syarat nak jadi menteri. Saya jawab syarat nak jadi menteri ni perdana menteri, suka. Walaupun ada PhD sampai 10 ke, ada profesor ke, ada kiyai ke, ada ustaz ke, haji-haji ke, yang penting PM suka.
“Kalau Perdana Menteri suka, maka dia akan lantiklah… kalau kita bukan ahli Dewan Rakyat, dia boleh lantik angkat sumpah sebagai senator (sesiapa sahaja), kemudian angkat sumpah sebagai menteri untuk duduk di Kabinet, ini kuasa Perdana Menteri,” memetik laporan Malaysia Gazette.
Kenyataan Sany hadir selepas dua pemimpin utama PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, mengumumkan pengunduran mereka daripada Kabinet susulan kekalahan dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat PKR baru-baru ini.
Rafizi meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun, manakala Nik Nazmi, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, akan meninggalkan jawatannya bermula 4 Julai.
Mengulas langkah itu, Sany menyifatkan kedua-dua tokoh berkenaan sebagai individu berprinsip dan berpegang kepada janji.
“Tetapi dengan semangat yang berjiwa besar, saya kira mereka berprinsip sebab mereka cakap mereka kotakan.
“Bila kita berkata-kata, bila kita tunaikan janji maksudnya kita kena kotakan apa yang kita kata, janji kepada masyarakat,” katanya lagi.
Tambah beliau, jawatan sebagai menteri bukan hanya membawa status, tetapi turut menuntut tanggungjawab yang besar dan amanah terhadap rakyat.
Ujarnya, mereka yang diberi kepercayaan untuk menduduki kerusi menteri perlu memberikan sepenuh komitmen untuk memastikan kementerian yang dipimpin mampu berfungsi dengan cemerlang demi kebajikan rakyat dan kestabilan negara.