Suspek Kes Cabul Maut Dibelasah, 5 Individu Termasuk Wanita Ditahan

ALOR SETAR – Individu yang koma akibat dipukul orang awam kerana dipercayai mencabul kehormatan seorang wanita di dalam tandas bangunan menjual peralatan komputer dan telefon bimbit di Jalan Putra di sini Ahad lalu meninggal dunia hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata suspek meninggal pada pukul 12.30 tengah hari setelah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas kejadian.

Sehubungan itu pihak polis menahan beberapa individu yang disyaki terbabit memukul suspek.

“Kita menahan empat lelaki dan seorang wanita berusia 20-an di sekitar Alor Setar untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan berdasarkan gambar kejadian yang menjadi tular di media sosial.

Mohd Rozi berkata mereka yang ditahan akan direman mulai hari ini.

Dalam kejadian 4 petang pada hari tersebut, suspek yang berusia 31 tahun telah dibelasah kerana dia dipercayai mencabul kehormatan wanita berkenaan.

Dia mengalami kecederaan parah di muka, telinga, badan serta kaki dan kemudiannya dibawa ke hospital. — BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.