PRK Teluk Intan Medan Uji Sokongan Melayu

Teluk Intan – Dalam suasana DAP rancak berkempen di saat akhir dengan mempertaruhkan calon Melayu, Dyana Sofya Mohd Daud pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan dilihat tidak melunturkan sokongan pengundi Melayu kepada calon Barisan Nasional, Datuk Mah Siew Keong.

Sungguhpun begitu, DAP begitu berharap untuk kekal momentum sebagai penyandang dengan sokongan penuh daripada pengundi Cina dan India, selain undi dari penyokong tegar Melayu.

Penganalisis politik, Sivamurugan Pandian berkata intipati sepanjang tempoh DAP berkempen memungkinkan tiada perubahan dalam undi Melayu di hari pengundian.

“Pada pandangan saya, pengundi Melayu masih dengan BN walaupun DAP tampilkan calon Melayu.

“Saya tidak nampak banyak perubahan dalam pola pengundian sebagaimana Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di mana 70 peratus pengundi Melayu mengundi BN,” katanya.

Malah, Siva juga bersetuju dengan pandangan yang menyatakan Dyana sebagai ‘test market’ DAP dengan meletakkan calon Melayu di kawasan majoritinya Cina, walaupun terdapat kelebihan dan kekurangan yang dimiliki kedua-dua calon.

“Apakah mampu pengundi Melayu menerima calon Melayu daripada DAP? Kedua-dua calon ada kekuatan dan kelemahan. Mah calon tempatan ada ‘track record’, ada prestasi yang perlu diuji yang dirasakan perlu untuk penambahbaikan.

“Bagi Dyana calon luar yang ada latar belakang pendidikan dilihat mampu untuk mendekati golongan muda. Dalam konteks ini, pengundi Melayu harus buat pilihan secara rasional,” jelasnya.

Katanya, pentas kerusi Parlimen ini masih lagi berpihak kepada DAP kerana parti itu penyandang dua penggal berturut-turut.

“Bagi saya, persaingan untuk menang adalah sengit di mana satu peratus hingga dua peratus sahaja boleh berpihak kepada DAP atau BN,” katanya.

Pandangan tersebut turut diakui Ketua Bahagian UMNO Teluk Intan, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin bahawa sokongan pengundi Melayu yang diterima ketika PRU13, mampu kekal bersama BN pada PRK kali ini.

Ini kerana katanya, sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong berada dalam penguasaan UMNO, faktor sokongan Melayu itu kekal kerana operasi dan pentadbiran Pusat Khidmat Masyarakat di bandar itu berjaya menyelesaikan beberapa masalah utama yang dihadapi penduduk.

“Ramai yang datang meminta khidmat nasihat dan bantuan. Antara masalah utama yang berjaya diatasi adalah kesukaran untuk berurusan dengan agensi kerajaan, bantuan kewangan dan sebagainya.

“Maka, peranan kita adalah untuk mengurangkan kesulitan yang mereka hadapi dan juga mempercepatkan sesuatu proses permohonan bagi masalah penduduk di sini,” katanya ketika dihubungi.

Namun kata Azhar, tidak dinafikan bahawa terdapat sokongan pengundi Melayu kepada calon DAP itu tetapi mereka kini matang untuk berfikir dan memilih calon yang mampu menjadi wakil rakyat mereka di peringkat Parlimen.

“Kita kena bijak dalam memilih calon. Seperti yang kita tahu, kerajaan pusat diperintah Barisan Nasional (BN) sama juga dengan kerajaan negeri.

“Tugas pentadbiran menjadi lebih mudah sekiranya wakil kita (Mah) berjaya ke Parlimen, di mana penduduk di sini turut mendapat manfaat dari segi pembangunan,” katanya.

Ujarnya, walaupun peluang untuk menang kedua-dua calon adalah sama rata, Azhar lebih cenderung untuk meyakinkan pengundi Melayu yang berada ‘atas pagar’ supaya mengundi calon BN.

“Dianggarkan seramai 1,000 pengundi ‘atas pagar’ ini masih keliru siapa yang harus mereka undi. Jika undi Dyana, maka boleh dikatakan PAS bersekongkol dengan dasar-dasar DAP, di mana ia bertentangan dengan dasar Islam yang diperjuangkan PAS,” katanya.

Tinjauan saat akhir berkempen di bandar ini mendapati, ada pengundi yang bekerja di luar Teluk Intan mula pulang untuk mengundi.

Bagi Eksekutif Kewangan, Nur Fadillah Yusof, 26 tahun, walaupun undi adalah rahsia, dia tetap mahu melihat Teluk Intan maju seperti mana bandar lain.

Malah, dia turut bersedih kerana Melayu sudah berkurangan di bandar ini berbanding 10 tahun yang lalu.

“Saya sokong pada pembangunan kerana ini akan memberi impak ekonomi kepada rakyat di sini.

“Malangnya, saya lihat Melayu sudah berkurangan di bandar ketika saya menetap dan bersekolah di sini. Ada banyak restoran Melayu ketika itu, tetapi sekarang nak cari tempat makan pun susah, kena pergi ke kawasan kampung baru ada,” katanya yang bekerja di Kuala Lumpur.

Kerisauan itu turut dikongsi penduduk tempatan, Ibrahim Hassan, 45 tahun, yang berkata Melayu harus bersatu demi kelangsungan hidup di Teluk Intan.

“Saya berharap kita boleh menilai seseorang calon itu dari sudut sumbangan, kepimpinan dan yang penting adalah calon tempatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.