Najib Adakan Pertemuan Dengan PM China

Beijing – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diberikan sambutan rasmi yang meriah di Great Hall of People di sini, venue  sama yang menyaksikan bapa beliau yang juga Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein melakar sejarah apabila menjalinkan hubungan diplomatik dengan China 40 tahun lepas.

Perdana Menteri China Li Keqiang menyambut Najib di Great Hall of People, yang menempatkan Kongres Rakyat Kebangsaan, badan perundangan tertinggi Republik Rakyat China.

Tembakan mariam 19 das turut disempurnakan sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Najib, dengan diiringi Li, kemudian memeriksa perbarisan kehormat terdiri daripada ketiga-tiga perkhidmatan ketenteraan negara itu.

Sejam sebelum itu, Najib kembali semula ke ibu negara China ini dari Pulau Pinang setelah bergegas pulang ke Malaysia pada malam Rabu bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar, Perak.

Beliau dalam rangka lawatan enam hari ke negara ini sejak Selasa. Najib dan Li kemudian ke Bilik Hebi di East Hall untuk mengadakan pertemuan dua hala.

Najib mengetuai delegasi 15 anggota yang termasuk Menteri Pertahanan yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Utusan Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron dan Duta Malaysia di China Datuk Iskandar Sarudin.

Kedua-dua pemimpin itu kemudian menyaksikan majlis menandatangani enam memorandum persefahaman (MoU) peringkat Kerajaan dengan Kerajaan iaitu Sains, Teknologi dan Industri Pertahanan bagi Pertahanan Nasional; Program Eksekutif untuk Kerjasama Kebudayaan dan Pertukaran Instrumen bagi Penubuhan Konsulat China Baharu di Kota Kinabalu dan Pulau Pinang serta Konsulat Malaysia baharu di Nanning.

Turut dimeterai ialah Minit-minit mengenai Memperkukuh Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan antara Kementerian Perdagangan China (Mofcom) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (Miti);  MoU antara  China Post Group dan Pos Malaysia serta MoU bagi menggalakkan kerjasama perindustrian antara agensi penggalakan pelaburan Kementerian Perdagangan China, Perbadanan Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia.

Perdana Menteri China itu kemudian meraikan delegasi Malaysia dalam satu jamuan malam.

Di bangunan itu jugalah Allahyarham Tun Abdul Razak dan rakan sejawatannya mendiang Zhou Enlai menandatangani pernyataan bersama bagi menjalinkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China pada 1974.

Malaysia merupakan negara pertama Asean yang menjalin hubungan diplomatik dengan ekonomi kedua terbesar dunia itu.

China, dengan populasi seramai 1.36 bilion orang, telah menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia sejak 2009, manakala Malaysia terus menjadi rakan perdagangan terbesar China di Asean sejak 2008.

Tahun lepas, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara adalah berjumlah AS$106 bilion (RM339 bilion), dan Malaysia dan China bersetuju untuk meningkatkan perdagangan dua hala kepada AS$160 bilion (RM511 bilion) menjelang 2017.

Najib, yang tiba di China pada Selasa dengan mengadakan lawatan singkat di bandar lama Xi’an, dijadual membuat kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping pada Jumaat.

Semasa di Beijing, Najib dijadual menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara kerajaan melibatkan perdagangan dua hala dan kerjasama politik, melawat Beijing Foreign Studies University, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Huawei serta menunaikan solat Jumaat di Masjid Niujie.

Beliau juga dijadual menghadiri sidang kemuncak ekonomi dengan para usahawan China di sini dan acara kemuncak bagi lawatan beliau ialah majlis sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China di Great Hall of People pada Sabtu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.