Mayat Kanak-Kanak Perempuan Ditemui Tanpa Kepala

Kuala Lumpur – Mayat seorang kanak-kanak perempuan yang berusia dalam lingkungan tidak lebih tiga tahun ditemui tanpa kepala bersebelahan Sungai Klang di Jalan Hishammuddin pada Khamis malam.

Menurut laporan Berita Harian, kanak-kanak yang berusia antara dua hingga tiga tahun itu ditemui orang awam kira-kira jam 9 malam dipercayai dikelar seorang lelaki warga asing yang sempat melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, berkata mangsa dikatakan dibawa lari oleh suspek berkenaan dari sebuah pusat beli belah di Pudu Sentral ketika ditinggalkan bersama rakan ibunya.

Polis sedang mengesan suspek yang melarikan diri sebaik menyedari tindakannya mengelar leher mangsa dilihat orang awam dan usaha mengesan lelaki warga asing berusia 30-an itu sedang giat dijalankan.

“Ibu bapa mangsa sudah dimaklumkan dan mereka sudah membuat pengecaman, namun belum disoal siasat berikutan keadaan ibunya yang hampir pengsan sebaik melihat keadaan anaknya,” katanya.

Menurut Zainuddin, pemeriksaan di tempat kejadian menemui serpihan jubin berhampiran mayat namun belum dapat dipastikan sama ada ia digunakan untuk mengelar mangsa.

“Polis tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan senjata tajam untuk mengelar leher mangsa berdasarkan kesan kelar berkenaan,” katanya.

Motif sebenar kejadian itu belum dikenalpasti dan siasatan lanjut dijalankan mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.