Kes Rogol:Empat Lagi Suspek Termasuk Seorang Bapa Ditahan

PASIR MAS 29 Mei – Polis menahan empat lagi suspek termasuk seorang bapa bersama dua anak lelakinya bagi membantu siasatan berhubung kes dua pelajar dirogol oleh 38 lelaki di sebuah rumah di Ketereh di sini, pada 20 Mei lalu.

Penahanan itu menjadikan jumlah mereka yang ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut adalah sebanyak 14 orang.

Bapa dan dua anaknya berusia antara 15 hingga 38 tahun tersebut ditahan di sekitar Ketereh pada pagi semalam manakala seorang lagi berusia 20-an, juga di kawasan berdekatan, pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng memberitahu, polis telah mendapatkan perintah tahanan reman selama seminggu bermula hari ini terhadap empat yang ditahan terbabit dan enam lagi individu yang ditahan sebelum ini.

Menurut beliau, empat lagi yang ditahan kelmarin, telah pun direman selama enam dan tujuh hari bermula semalam.

“Seorang gadis berusia 17 tahun yang merupakan antara 14 yang ditahan itu juga telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu hari ini, kerana mendakwa dirogol.

“Polis kini memburu saki-baki suspek terlibat untuk siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Pasir Mas, di sini hari ini.

Dalam kejadian tersebut, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dan rakannya berusia 17 tahun menjadi mangsa ‘kenduri seks’ oleh 38 lelaki di sebuah rumah kosong di Ketereh di sini.

Berikutan itu, polis menahan seramai 10 individu di Kampung Hutan Pasir dan Kampung Padang Lembek, Ketereh di sini pada kelmarin dan awal pagi semalam.

Mangsa turut membuat laporan di Balai Polis Pasir Puteh, kelmarin.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.