Kenyataan AntiCina Punca Pengundi Pilih DAP

Teluk Intan – Seorang lelaki tua berbangsa Cina tersenyum girang sambil menunjukkan gambarnya berdiri di sebelah calon Barisan Nasional, Datuk Mah Siew Keong.

Dia menunjukkan gambarnya itu kepada tiga pekerja BN yang mengedarkan risalah kepada pengundi meminta mereka mengundi Mah dalam Pilihan Raya Kecil Teluk Intan.

Respons yang ditunjuk lelaki tua itulah yang diharapkan oleh Gerakan untuk terus mendapatkan sokongan daripada komuniti Cina di Teluk Intan.

Semalam, pengasas Pusat Kajian Pilihan Raya UCSI Profesor Ngern Miang Hong berkata, sekiranya tidak banyak perubahan dalam corak undian di kalangan pengundi Cina, DAP berpeluang untuk mempertahan kerusi Teluk Intan.

Ngern turut meramalkan majoriti 3,000 undi untuk calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud.

Malah, penyokong BN juga terpaksa mengakui kepada The Rakyat Post, bahawa mereka mempunyai peluang tipis untuk memenangi hati komuniti Cina.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam turut menyifatkan ia satu ‘cabaran besar’ untuk memenangi hati pengundi Cina.

Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Teng Chang Yeow ketika dihubungi pula langsung tidak segan silu mengakui terpaksa bekerja keras untuk memenangi hati pengundi Teluk Intan, tidak seperti dua pilihan raya umum yang lalu.

Menurut Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA Datuk Ti Lian Ker, sebab mengapa sentimen anti-BN terlalu kuat di kalangan komuniti Cina adalah berpunca daripada kenyataan yang dibuat sebelum ini menyakitkan hati mereka.

Sejak beberapa tahun lalu terdapat banyak kenyataan yang menyakitkan hati pengundi Cina di Teluk Intan dan kerana itu mereka berubah hati dan enggan mengundi parti komponen BN, iaitu MCA, katanya.

“Pengundi Cina sudah tak tahan lagi dengan kenyataan yang menyinggung perasaan mereka dan sekiranya berterusan, ia pasti akan menidakkan segala kemajuan yang dilakukan oleh parti komponen BN,” katanya.

Penganalisis politik dari Monash University Profesor James Chin pula meramalkan pengundi muda – mereka yang berusia bawah 40 tahun – ‘100 peratus’ akan mengundi DAP.

Menurutnya, pengundi muda Cina melihat UMNO, sebagai satu parti yang bersifat perkauman.

One thought on “Kenyataan AntiCina Punca Pengundi Pilih DAP

  • May 31, 2014 at 1:34 am
    Permalink

    punca kejatuhan BN adalah atas 3 faktor utama rasis korupsi dan kronisma…masaalah ini menjejaskan intergriti parti dan pemimpin BN…selain pada itu isu seperti peningkatan kos hidup dan dasar-dasar kerajaan BN yang dianggap menekan kehidupan rakyat menjadikan perasaan tidak puas hati dan kecewa di kalangan rakyat terhadap kepimpinan BN semakin meningkat.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.