Ana Dahlia Terperangkap, Gagal Sorok Status Sudah Bertunang

KUALA LUMPUR: Hasrat pelakon Ana Dahlia untuk menyembunyikan status hubungannya dengan seorang pemuda tidak berjaya, apabila dia ‘terperangkap’ dengan jerat sendiri selepas pengacara malam Hari Ibu anjuran Rafflesia, di Hotel Royal di sini pada malam Rabu lalu mengumumkan, pasangan tersebut bakal berkahwin tidak lama lagi.

Malah pengacara tersebut turut memperkenalkan pemuda yang dikenali sebagai Ubaidullah itu sebagai tunang kepada Ana Dahlia atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar, 31.

Peristiwa itu meleraikan segala tanda tanya dan penafian Ana selama ini yang mendakwa hubungannya dengan pemuda berkenaan sekadar kawan biasa walaupun gambar-gambar kemesraan percutian mereka bersama teman ke Thailand beberapa bulan lalu hangat diperkatakan.

Bagaimanapun, Ana ketika ditemui pemberita sebelum acara Hari Ibu itu bermula menafikan khabar angin tersebut dan berjanji akan memaklumkan kepada pihak media sekiranya dia benar-benar bakal berkahwin.

“Saya tidak menafikan perancangan untuk berkahwin itu memang ada tetapi gosip sebelum ini mengatakan saya bakal bertunang dan berkahwin pada bulan Mei sama sekali tidak benar. Malah saya sendiri tidak tahu bagaimana cerita itu timbul.

“Buat masa ini tiada pengumuman yang ingin saya buat berhubung perkara itu namun sekiranya ada, saya akan beritahu kepada semua pihak. Kita hanya merancang tetapi jodoh itu ketentuan Tuhan,” katanya kepada mStar Online sebelum pengacara mengumumkan statusnya itu.

Bukan sahaja pengumuman berkenaan malah status Ana Dahlia yang merupakan tunangan orang turut dicatatkan dalam kenyataan media yang diedarkan kepada wartawan.

Walaupun menafikan sudah bertunang atau bakal berkahwin, Ana Dahlia hanya mengaku keluarga Ubaidullah sudah datang berjumpa keluarganya di Taiping, Perak baru-baru ini untuk merisik tanpa menetapkan sebarang tarikh pertunangan atau perkahwinan.

Dalam perkembangan berkaitan Ana memberitahu dia telah lama mengenali Ubaidullah yang tinggal sekampung dengannya namun hubungan mereka rapat sejak setahun yang lalu.

Jelas Ana, dia selesa bersama pemuda itu dan menyifatkan Ubaidullah seorang yang mengambil berat dan berfikiran matang selain mampu membimbingnya daripada sudut agama Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.