KUALA LUMPUR – Tindakan Umno-DAP (UMDAP) mempersuci DAP berjaya menarik atau boleh membeli pengundi dengan politik wang dan jentera kerajaan sepertimana amalan yang digunakan Umno dalam BN dahulu.
Menurut Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning dan PRK Nenggiri tidak boleh menjadi ukuran kerana perubahan boleh berlaku dalam keadaan yang berbeza dan berubah-ubah.
Malah tegas Hadi, kemenangan Umno bersama DAP (UMDAP) dalam PRK Ayer Kuning tidak bermakna memberikan kesan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Jelas beliau, sifat perubahan dalam arus politik menjadi tabii alam dan dinamik dalam politik, termasuk ke arah yang tidak istiqamah bersama Islam.
“Kejayaan calon UMDAP bersama PH dalam PRK Ayer Kuning ialah hasil kejayaan Umno menubuhkan UMDAP yang mempersuci DAP yang anti-Islam secara terbuka, termasuk beberapa tindakan mempersuci DAP dan PH dalam isu ternakan babi secara haram di kawasan majoriti penduduknya Islam dan dipimpin oleh Melayu Islam.
“Oleh sebab itu, Islam mendahulukan kemenangan kuasa politik berbanding umrah dan haji yang wajib mengikuti mazhab Ahli al-Sunnah yang dianut oleh Pas.
“Pas yang mengemukakan isu bahawa tanggungjawab mengundi itu adalah fardu ain, gagal dalam PRK itu. Namun, Islam yang progresif dan liberal, serta UMDAP yang mempersuci DAP walaupun bercanggah dengan nas al-Quran, hadis, ijmak, dan qias yang nyata, bahkan bertentangan dengan siasah syar‘iyyah dan maqasid al-syariah kerana ternakan babi memudaratkan kesihatan, alam sekitar, dan nyawa ditolak oleh sebahagian besar pengundi Melayu Islam di Ayer Kuning bersama calon UMDAP.
“UMDAP membawa sebahagian daripada Umno menjadikan matlamat menghalalkan cara (the end justifies the means) mengikut kaedah politik sekular dan cara politik liberal. Di samping itu, mereka berada dalam kerajaan demi memperoleh jawatan Menteri Besar, Exco, projek, dan kehakiman terpilih bagi menyelamatkan kawan dan sahabat dalam kes yang nyata buktinya seperti jenayah dan rasuah,” kata Timbalan Pengerusi PN itu lagi.
Sebaliknya kata Hadi, mereka memilih lawan untuk diseret ke mahkamah dalam kes yang nyata dan belum nyata, termasuk kes yang sengaja diciptakan terhadap sesiapa sahaja yang melawan. Malah mereka boleh berbohong atau bersumpah bohong padahal ia diharamkan dan diwajibkan kafarah dalam hukum Islam , di samping melakukan kemungkaran lain yang menjadi amalan Kerajaan PH.
“Bersama mereka ialah media yang mendukung secara kasar dan halus, berserta kalangan oportunis politik wang dan pangkat yang berjaya dalam PRK Ayer Kuning.
“Dalam semua keadaan ini, Pas tetap berpegang kepada konsep tahaluf dan ta‘awun yang berpandukan nas al-Quran,” ujar Ahli Parlimen Marang itu lagi.
Walau bagaimanapun kata Hadi, ada dalam kalangan Umno yang bersama UMDAP kerana takut. Mereka dikecualikan kerana boleh berubah pendirian kepada hijrah.
Pun begitu kata Hadi, sebelum ini, Pas pernah bertahaluf dengan DAP dan PKR, namun kemudian membatalkannya kerana berpandukan kepada nas tersebut.
“Asalnya, bertahaluf dan berta‘awun dengan pihak bukan Islam yang tidak menentang Islam adalah diharuskan, sehingga orang bukan Islam boleh menyertai kerajaan pusat dan menjadi Exco yang tidak berkait dengan dasar Islam, dinamakan sebagai wizarah al-tanfiz.
“Walau bagaimanapun, DAP yang nyata anti-Islam dilarang menyertai kerajaan pusat berpandukan surah al-Mumtahanah ayat 9. Terbukti dalam perlembagaan DAP, mereka bercita-cita menegakkan negara sekular yang tidak memberikan kuasa kepada Islam, bahkan mengeluarkan kenyataan secara terbuka menentang pelaksanaan syariat Islam, walaupun penguatkuasaan syariat Islam itu adalah terhadap penganut Islam sahaja.
“Pas menolak kerjasama dengan pihak bukan Islam jika tujuannya mahu akan kemenangan dan kuasa semata-mata.
“Pas tetap beristiqamah dengan perintah Allah yang mengharamkan pelantikan orang bukan Islam sebagai pemimpin negara,” katanya.
Dalam beberapa aspek, Hadi menyebut PN menunjukkan kejayaan di PRK Ayer Kuning, ditambah pula dengan keadaan penurunan undi Melayu Islam disebabkan langkah mempersuci DAP dan rakan-rakannya oleh UMDAP.
“Walaupun calon PAS atau PN, Ustaz Abd Muhaimin Malek ialah seorang tokoh agama yang bertauliah dan mengajar di banyak masjid, malah muridnya ramai daripada kalangan Umno, mereka sekadar memahami Islam dalam ibadat fardu ain sahaja, tetapi menolak kewajipan politik dalam Islam.
“Pas kekal beristiqamah dengan perubahan ke arah yang lebih baik melalui islah dan tajdid. Pas menolak perubahan progresif, liberal, dan pragmatik yang berkonsepkan sekularisme,” katanya.