KUALA LUMPUR – Kerajaan Kedah selari dengan hasrat Kerajaan Persekutuan yang memberi keutamaan kepada projek perumahan untuk rakyat termasuk kediaman mampu milik untuk golongan kurang berkemampuan.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerjasama daripada Kerajaan Persekutuan juga akan meningkatkan kualiti pembinaan termasuk dalam aspek penyediaan infrastruktur.
“Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri yang berkunjung ke Kedah sebelum ini, kita ada membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan untuk membantu.
“Kita sediakan tanah untuk kampung sejahtera yang memiliki 1,200 lot tanah. Kita mohon Persekutuan untuk menyediakan infrastruktur dan Perdana Menteri bersetuju,” katanya pada sidang akhbar Mesyuarat Exco di Alor Setar pada Rabu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan mahu pembangunan projek perumahan rakyat di seluruh negara khususnya di ibu kota diutamakan berbanding pembangunan pencakar langit.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak peduli jika ketika era pentadbirannya tiada bangunan pencakar langit dibangunkan, sebaliknya mahu perumahan rakyat terbanyak didahulukan.
Pada November tahun lalu, kerajaan negeri membangunkan kampung tersusun pertama di Kedah dikenali Desa Sejahtera di Padang Terap selain menyediakan lot tanah untuk projek sama di Kuala Muda, Kubang Pasu, Kulim, Langkawi, Baling, Sik, Yan, Pendang, Bandar Baharu dan Pokok Sena, lapor Utusan.
Sanusi berkata, bantuan yang dimohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan infrastruktur itu diharap dapat segera disalurkan demi kelancaran projek itu.
“Saya harap disegerakan. Tapi kalau tak dapat pun kita buat juga dengan kadar kemampuan kita iaitu sediakan tanah, jalan tanah merah dan letak batu crusher run tapi kalau kerajaan Pusat tolong mungkin boleh diturap.
“Kos yang tinggi seperti utiliti perlu ada bantuan Pusat. Kalau setakat nak bagi tanah, mereka boleh buat rumah sendiri, itu murah. Kita tak mahu setakat itu saja, kita nak kampung itu jadi lengkap,“ katanya.