KUALA LUMPUR – Polis telah mengenal pasti lokasi sebuah jentera pengorek (ekskavator) yang dikhuatiri terbenam di kawasan letupan saluran gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, di sini, pada 1 April lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah mengesan kedudukan jentera tersebut yang terletak berhampiran kawasan saluran paip utama yang meletup di ‘ground zero’ atau lokasi kejadian.
“Pada masa ini, tumpuan kita adalah melaksanakan siasatan berkaitan punca kejadian yang memberi perhatian kepada saluran paip gas. Namun, setelah selesai, kita akan melakukan kerja-kerja pengorekan tanah di lokasi jentera itu terbenam.
“Ingin saya tegaskan, proses melaksanakan kerja-kerja siasatan di sini begitu rumit dan dijangka akan mengambil masa seminggu selepas selesai pengorekan di bahagian utama,” katanya pada sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian, di Subang Jaya pada Rabu.
Hussein berkata, selepas selesai proses mengeluarkan saluran paip, pihaknya akan menumpukan usaha membawa keluar jentera yang tertimbus untuk tujuan siasatan.
“Pengorekan yang dibuat sekarang di lokasi utama kejadian adalah sedalam sembilan meter,” katanya lapor Sinar Harian.
Pada 4 April lalu, Hussein dilaporkan berkata pihaknya juga sudah mengenal pasti pemaju, kontraktor, subkontraktor dan pekerja yang terbabit dalam aktiviti mengorek tanah di kawasan letupan menggunakan dua jentera, salah satunya terbenam dalam kawah.
Katanya, kerja mengorek kawah tersebut dilakukan untuk siasatan lanjut yang merangkumi punca kejadian serta bagi mengeluarkan jentera yang terbenam itu.
Menjelaskan aktiviti mengorek tanah di sekitar kawasan letupan, Hussein berkata, kerja itu dilakukan bagi menggantikan paip kumbahan yang berada kira-kira 30 meter dari pusat letupan.
Selain itu, siasatan turut dilakukan bagi mengenal pasti sama ada aktiviti tersebut boleh menjadi punca kepada letupan.
Sementara itu, mengenai dakwaan berlaku aktiviti mengorek tanah pada hari pertama Aidilfitri, Hussein berkata pihaknya mengambil maklum perkara itu.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan pihaknya dimaklumkan bahawa jengkaut yang didakwa digunakan telah dibawa keluar daripada kawasan berkenaan untuk kerja pembaikan sebelum kejadian berlaku.
Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan secara menyeluruh berhubung insiden berkenaan termasuk dakwaan-dakwaan berkaitan.