KUALA LUMPUR – Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang perjuangannya mencerminkan aspirasi rakyat negeri itu.
Ketua Penerangan GRS Joniston Bangkuai berkata, tiada sebab dua parti terbabit keluar daripada gabungan yang telah dibina bersama selain langkah berkenaan tidak memberi keuntungan politik.
“Mengapa tinggalkan sesuatu yang anda bantu bina hanya untuk bekerjasama dengan pihak lain.
“Parti lain mungkin serupa dari segi bentuk tetapi tidak semestinya sehaluan dari segi visi atau misi?,” kata ketua penerangan PBS itu yang menolak spekulasi partiya serta STAR akan keluar GRS.
Joniston mengulas laporan media semalam berhubung ada dakwaan berlaku desakan supaya STAR dan PBS keluar daripada GRS, lapor FMT.
Memetik kenyataan seorang penganalisis politik enggan dinamakan, desakan itu didakwa datang daripada segelintir ahli parti terbabit kerana mahu bertanding lebih banyak kerusi terutama di kawasan majoriti Kadazandusun Murut (KDM).
PBS pimpinan Pemangku Presiden Joachim Gunsalam memiliki tujuh kerusi negeri (Tandek, Matunggong, Tamparuli, Kiulu, Lumadan, Kundasang dan Telupid).
STAR yang diketuai Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan mempunyai enam kerusi (Paginatan, Tambunan, Kiulu, Sook, Tulid dan Liawan).
Beliau yang juga Adun Kiulu berkata PBS dan STAR telah menunjukkan komitmen konsisten terhadap gabungan itu dan sentiasa bekerjasama melalui perancangan strategik bersama, memanfaatkan pengaruh sedia ada untuk mengukuhkan GRS.
Menurut Joniston, fokus ketika ini seharusnya diberikan kepada usaha memastikan GRS termasuk parti pengasas seperti PBS dan STAR, dapat menangani isu mendesak seperti kemudahan luar bandar, pemerkasaan ekonomi, dan pembangunan belia.
“Perkara ini sedang giat dilaksanakan oleh semua parti dalam gabungan,” katanya.