KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning baru-baru ini bukan tiket untuk berasa selesa, sebaliknya perlu menjadi motivasi untuk terus bekerja demi rakyat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu ditegaskan Perdana Menteri pada mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung hari ini yang mahu supaya jentera kerajaan terus bekerja lebih keras untuk menyelesaikan isu rakyat.
“Perdana Menteri minta supaya kerajaan tidak terlalu yakin dan jangan berasa lega dengan keputusan ini, tapi harus lebih keras bekerja untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Rabu.
Katanya, Perdana Menteri turut merakamkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) di atas kemenangan di Ayer Kuning itu.
Fahmi berkata, kemenangan ini adalah satu petanda yang positif terutama dalam kalangan pengundi muda walaupun jumlah yang keluar mengundi rendah.
Fahmi berkata, perubahan dan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu juga menunjukkan perubahan yang positif.
“Daripada 20 pusat daerah mengundi (PDM), 19 PDM telah dimenangi oleh BN manakala satu sahaja yang dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN) dan itu pun dengan jumlah majoriti yang berkurangan,” lapor Utusan.
Sabtu lalu, calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir menang besar pada PRK DUN Ayer Kuning, Perak dengan majoriti 5,006 undi.
Beliau yang juga Setiausaha Umno Bahagian Tapah, meraih 11,065 undi, mengatasi calon Perikatan Nasional (PN) Abdul Muhaimin Malek yang memperolehi 6,059 undi, manakala calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS mendapat 1,106 undi.