KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus melaksanakan semua usaha, hak dan sumber yang ada untuk melindungi kedaulatan kekebalan dan kepentingan Malaysia serta memuktamadkan kes penipuan Sulu yang tidak berasas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, prosiding kes Sulu seterusnya adalah di hadapan Mahkamah Rayuan Paris, yang dijadualkan pada 7 Julai 2025.
Jelas beliau, perbicaraan ini akan menyaksikan badan kehakiman Perancis untuk meneliti kesahihan anugerah timbang tara yang dikenakan terhadap Malaysia serta pelbagai aspek perundangan yang berkaitan.
Dalam kenyataan lisan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Azalina menegaskan Malaysia antara negara yang memperjuangkan proses perundangan antarabangsa, usaha-usaha diplomasi dan prinsip keadilan dan kesaksamaan di pentas global.
“(Justeru) solidariti tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap hak Palestin untuk penentuan nasib sendiri dan bantuan kemanusiaan mencerminkan komitmen berterusan kita dalam hal ini selain menjalin hubungan erat dengan negara-negara lain yang sependapat dalam usaha ini,” katanya.
Dalam lawatan kerja Azalina juga turut merangkumi pertemuan dengan pasukan perundangan yang mewakili Malaysia di Paris beberapa hari sebelumnya untuk pemetaan strategi berterusan dan kemas kini Kes Sulu yang sedang berlangsung.
“Kes Sulu seperti yang umum sedia maklum telah mencabar had imuniti Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat di mana ia menyaksikan bagaimana pembiayaan pihak ketiga (Third Party Funding) disalah gunakan bagi memperpanjang tuntutan tidak berasas terhadap Malaysia dengan cara yang amat licik. Selain itu, ia juga memperlihatkan bagaimana tribunal timbang tara swasta cuba merampas aset milik kerajaan.
“Namun demikian, beberapa keputusan yang memihak Malaysia mutakhir ini – terutamanya keputusan Mahkamah Perancis (French Court of Cassation) untuk membatalkan pengiktirafan anugerah awal, menolak anugerah akhir oleh Mahkamah Agung Belanda, dan sabitan jenayah Mahkamah Rayuan terhadap penimbang tara Gonzalo Stampa kerana menghina mahkamah semuanya secara signifikan telah mengukuhkan kedudukan dan kedaulatan undang-undang Malaysia sebagai sebuah negara merdeka lagi berdaulat,” katanya.
Azalin telah menyampaikan kenyataan lisan di ICJ berhubung permintaan untuk Pendapat Nasihat mengenai ‘Obligations of Israel in relation to the Presence and Activities of the United Nations, Other International Organizations and Third States in relation to the Occupied Palestinian Territory’ pada 28 April 2025.
“Saya ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan atas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepada saya untuk mewakili negara dalam sidang yang amat penting ini.
“Penyerahan kenyataan lisan Malaysia adalah berakar umbi kepada prinsip bahawa ini bukan hanya satu isu politik antarabangsa semata-mata, tetapi ianya merupakan satu isu berhubung ketidakpatuhan perintah undang-undang yang telah menjejaskan kredibiliti peraturan antarabangsa,” katanya.