KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan beberapa Adun yang dikaitkan dalam skandal rasuah digesa meletakkan jawatan susulan penyerahan bukti baharu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Adun Warisan Justin Wong berkata, pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu memilih “pengunduran yang terhormat jika mereka masih sayangkan Sabah”.
“Mereka yang terlibat pasti berasa takut dan bergegar sekarang, saya rasa mereka tidak boleh tidur semalam,” katanya dalam satu kenyataan, merujuk tindakan seorang pemberi maklumat yang menyerahkan sebuah telefon bimbit yang mengandungi mesej asal WhatsApp berkaitan kes itu serta hampir 300 halaman bukti kepada SPRM, lapor Malaysiakini pada Rabu.
“Bayangkan betapa teruknya kerajaan GRS semasa dalam soal rasuah? Sehingga terdapat 300 muka surat dokumen jejak wang untuk membuktikan sembilan orang Yang Berhormat ‘YB’ di bawah pimpinan Ketua Menteri, Hajiji Noor terlibat dalam kegiatan rasuah,” katanya.
Adun Sri Tanjong itu turut mengimbas kembali kenyataan Hajiji sebelum ini mengenai gaji wakil rakyat yang dikatakan tidak mencukupi.
“Adakah ini amalan kepimpinan Hajiji Noor, dia mana beliau selaku ketua menteri berkata secara terbuka ‘kalau harap wakil rakyat punya gaji, macam mana kita hidup, makan pun tidak cukup’.
“Kenyataan bodoh ini daripada mulut Hajiji Noor telah menular di seluruh Sabah, saya percaya tiada orang Sabah yang tidak tahu tentang jenaka ini ‘gaji YB tidak cukup makan’,” katanya.
Susulan pendedahan skandal itu, ketua menteri memberi alasan video-video terbabit mungkin berkaitan dengan sumbangan politik, dan menegaskan bahawa gaji semata-mata tidak mencukupi.
Pengerusi GRS itu juga menegaskan bahawa wakil rakyatnya tidak pernah meminta rasuah, namun mengakui bahawa adalah satu “pembohongan jika dikatakan parti politik dan ahli politik tidak menerima dana politik daripada penderma.”
“Saya telah sampaikan perkara ini kepada perdana menteri minggu lepas. Semua orang faham bahawa dana politik bukan satu kesalahan di negara ini atau di negara lain.
“Bagaimana parti politik boleh berfungsi tanpa sumbangan kewangan daripada pihak yang mampu? Jika hanya bergantung kepada gaji wakil rakyat, nak makan pun tak cukup,” katanya.
Hajiji turut menuduh pemberi maklumat yang mendedahkan video-video tersebut sebagai sebahagian daripada kempen untuk menjatuhkan pentadbirannya.
Ahli perniagaan berusia 36 tahun itu, mendakwa beberapa Adun terbabit menerima rasuah sebagai balasan bagi lesen penerokaan mineral, turut dituduh terlibat dalam kartel yang cuba memonopoli aktiviti perlombongan di negeri itu.
Semalam, pemberi maklumat itu menyerahkan sebuah telefon yang mengandungi mesej WhatsApp berkaitan kes tersebut dan hampir 300 muka surat bukti kepada SPRM.
Peguamnya, Mahajoth Singh, berkata, bukti tersebut mengandungi nama saksi, lokasi, rekod panggilan, dan pemindahan saham yang dilakukan secara “sulit”.
“Ini bukan bukti lengkap. Ini adalah tambahan kepada sembilan rakaman video serta kenyataan setebal 50 muka surat yang sebelum ini telah diserahkan oleh pemberi maklumat,” katanya.