KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim mengakui kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) ibarat ‘pedang bermata dua’, susulan kritikan pemimpin MCA Johor berhubung kemerosotan pengaruh politik parti itu.
Bagaimanapun, Hassan berkata secara realitinya kedua-dua gabungan itu ketika ini saling memerlukan.
Ahli Parlimen PKR itu menyifatkan kerjasama PH-BN sebagai hubungan simbiotik yang saling bergantung, yang membawa kesan baik dan buruk kepada kedua-dua gabungan besar itu.
“Ada positif dan ada negatifnya kerjasama ini. Terkesan bukan sahaja BN tetapi juga kepada PH,” lapor FMT, sambil memberi amaran kepada MCA bahawa keluar daripada BN umpama tindakan kamikaze secara politik.
BN yang diterajui Umno memainkan peranan penting dalam membolehkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentuk kerajaan perpaduan selepas PRU15 pada 2022, yang menyaksikan Parlimen tergantung.
Namun begitu, ketegangan dalaman dan perbezaan ideologi antara parti-parti dalam kerajaan perpaduan terus mencetuskan perdebatan mengenai kelestarian dan hala tuju serta masa depan gabungan itu.
Setiausaha Agung MCA Datuk Chong Sin Woon, baru-baru ini menggesa parti itu mencari haluan sendiri sekiranya BN terus menangguhkan keputusan mengenai hala tujunya.
Ketua Pemuda MCA Johor Heng Zhi Li, pula berkata PH bukan ‘menyelamatkan’ BN, sebaliknya sedang melemahkannya dari dalam, sambil menambah kerjasama membuta tuli dengan PH hanya akan menjadikan parti-parti BN tidak relevan secara politik.
Hassan berkata MCA dan MIC komponen teras bukan Melayu dalam BN bukan kehilangan relevan politik akibat PH, tetapi kerana parti berasaskan kaum semakin tidak popular dalam kalangan pengundi bukan Melayu.
Beliau berkata kemunculan gabungan seperti Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kemudian Pakatan Harapan mencetuskan perubahan ke arah pembinaan identiti nasional berbilang kaum.
“Gabungan berbilang kaum ini telah menjadikan ideologi berasaskan kaum semakin tidak sesuai sekarang,” katanya.
Sementara itu, seorang Ahli Parlimen kanan PH yang enggan dikenali berkata MCA tidak berpuas hati dengan kerjasama BN-PH kerana ia tidak menguntungkan MCA jika gabungan itu diteruskan.
Walaupun Umno dilihat perlahan-lahan membuat kebangkitan berdasarkan keputusan beberapa PRK kebelakangan ini, katanya MCA masih terpinggir kerana hampir semua kerusi yang mempunyai pengundi Cina yang ramai dikuasai parti-parti PH.
“Jika PH dan BN bergabung untuk PRU akan datang, bagaimana MCA mahu bertanding di kerusi-kerusi ini sedangkan ia dimenangi oleh PH pada PRU15?
“Ia seperti Pas yang tidak boleh bekerjasama dengan Umno kerana kedua-duanya berebut kerusi majoriti Melayu,” katanya.