PH Perlu Bersedia, Proses Peralihan Jawatan PM Sepatutnya Berjalan Baik – PKR

SEPANG – Setiap parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) perlu bersedia untuk menghadapi peralihan kuasa membabitkan jawatan Perdana Menteri, kata Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.

“Dalam hal itu, bukan saja PKR (Parti Keadilan Rakyat) tetapi keseluruhan PH perlu bersedia untuk peralihan kuasa.

“(Sesiapa saja sama ada) Perdana Menteri atau Menteri Besar datang dan pergi. Semua orang dan negara perlu bersedia. Ia sepatutnya berjalan baik.

“Setakat ini, pertukaran kerajaan, Menteri Besar dan EXCO, keadaan berjalan dengan lancar. Tidak berlaku sebarang ‘malapetaka’ daripadanya,” katanya di sini, semalam mengulas mengenai persediaan PKR menghadapi peralihan kuasa itu yang dijangka berlaku dalam tempoh setahun akan datang.

Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sudah berulang kali menegaskan untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun wujud usul agar beliau memanjangkan tempohnya mengetuai kerajaan hingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Majlis Pimpinan Pusat PKR dalam satu kenyataan sebelum ini berkata pendirian parti dalam perkara itu tidak berubah.

PKR berpegang teguh kepada persetujuan yang dicapai dan diumumkan pada 7 Januari tahun lalu, yang mana Dr Mahathir diangkat menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi Timbalan Perdana Menteri, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih sebagai Perdana Menteri Kelapan selepas tempoh dua tahun.

Dalam pada itu, ditanya mengenai polemik yang berlaku antara Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Dr Mahathir, Zuraida mengulas ringkas, perkara itu berada pada taraf tersendiri.

“Pada saya, (pertukaran pendapat) antara antara TMJ dan Tun (Dr Mahathir) berada pada taraf tersendiri jadi saya tidak rasa kita perlu masuk campur. Biar mereka yang selesaikannya,” katanya.

Baru-baru ini tular video TMJ dalam nada bergurau berkata ‘lebih baik jika Perdana Menteri ditukar’.

Tunku Ismail berkata demikian ketika disapa orang ramai yang meminta baginda menukar jurulatih pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Benjamin Mora ketika baginda dalam perjalanan keluar dari Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor menaiki kereta. – BH

2 thoughts on “PH Perlu Bersedia, Proses Peralihan Jawatan PM Sepatutnya Berjalan Baik – PKR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.