Mufti Perlis Pekak, PH Banyak Laksana Perkara Untuk Islam, Kata Dr Mahathir

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menyindir Datuk Dr Mohd. Asri Zainul Abidin sebagai pekak selepas Mufti Perlis itu mendakwa kedudukan Islam kini berada dalam keadaan yang tidak begitu selamat di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Perdana Menteri berkata, banyak perkara yang telah dilaksanakan demi Islam sebelum ini yang tidak disedari oleh Mohd. Asri.

“Sebab dia pekak. Kalau dia boleh dengar, kita buat macam-macam untuk orang Islam, dan agama Islam. Tetapi dia tidak dengar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Makan Malam Gala Triennial & Malam Anugerah 2019 di Hotel Istana di sini malam tadi.

Turut hadir isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad.

Dr Mahathir diminta mengulas kenyataan Mohd. Asri hari ini yang mendakwa kedudukan Islam kini berada dalam keadaan yang tidak begitu selamat di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Mohd. Asri berkata, realiti politik pada hari ini membiarkan umat Islam dibuli.

Beliau berkata, pelbagai kenyataan yang dibuat oleh yang dibuat oleh individu-individu yang berada dalam kerajaan hari ini yang menghina umat Islam dan menimbulkan ketegangan kaum, mereka hanya dipanggil untuk beri keterangan.

Malah ramai yang menghina Nabi Muhammad dan mempersenda ajaran Islam, juga hanya dipanggil memberikan keterangan. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.