Tapak arkeologi dedah tamadun kaum Melayu

DI bawah teduhan pokok kelapa sawit, sekumpulan pensyarah dari Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang berehat seketika selepas penat berjalan kaki menjelajah Kompleks Arkeologi Sungai Batu, Merbok, Kedah yang berkeluasan dua kilometer persegi.

Pensyarah terbabit sebelum itu begitu asyik dan teruja dengan pengkisahan mengenai penemuan khazanah yang tinggi nilai sejarahnya di tapak arkeologi itu yang telah diisytiharkan sebagai Kerajaan Kedah Tua oleh pakar arkeologi dari Universiti Oxford, Profesor Dr. Stephen Oppenheimer sempena Festival Kedah Tua pada Mei tahun lalu.

Dalam lawatan kira-kira dua jam itu, penerangan mengenai tapak arkeologi yang wujud sejak kurun kelima Sebelum Masihi itu disampaikan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Prof. Datuk Mokhtar Saidin dan dibantu dua pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) daripada USM.

Kepuasan terpancar pada wajah pensyarah tersebut apabila berpeluang melawat tapak arkeologi itu yang merupakan lebih tua daripada Candi Borobudur di Indonesia dan Angkor Wat di Kemboja yang masing-masing dibina pada abad ke-9 dan ke-12.

Malah, Jabatan Warisan Negara juga bakal menghantar pencalonan tapak arkeologi itu kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia yang kedua di negara ini selepas Lembah Lenggong di Perak dalam tempoh terdekat.

Berdasarkan hasil kajian dan penyelidikan PPAG USM sejak tahun 2007, Sungai Batu telah mula digunakan sejak kurun kedua Sebelum Masihi dan berterusan sehingga kurun ke-17 Masihi iaitu berusia lebih 2,000 tahun.

Pentarikhan itu mengikut sampel kajian yang telah dihantar di empat buah negara iaitu Amerika Syarikat, Korea, Jepun dan Jerman. Berdasarkan bukti yang ditemui menunjukkan bahawa kaum Melayu selama ini adalah orang yang pernah mempunyai satu ketamadunan yang setanding dengan ketamadunan lain seperti tamadun Mohenjodaro, Aztec, Maya dan Babylon.

Aktiviti penyelidikan dan ekskavasi di kompleks arkeologi itu yang terletak dalam ladang kelapa sawit sejak tahun 2009 itu membabitkan kos lebih RM10 juta.

Tapak arkeologi Sungai Dua dipercayai jauh lebih tua berbanding Candi Borobudur di Indonesia dan Angkor Wat di Kemboja.

Penemuan

Mokhtar memberitahu, hasil daripada 46 tapak yang telah dibuka untuk kajian dan penyelidikan sebelum ini telah menemui empat penemuan penting sepanjang penyelidikan dan ekskavasi tersebut.

Menurutnya, penemuan tapak peleburan besi yang menunjukkan bahawa Kerajaan Kedah Tua telah membangunkan industri peleburan besi untuk dieksport ke luar negara.

“Ini menunjukkan Sungai Batu sebenarnya telah menjadi hab mengeksport besi kuno sejak kurun kelima sebelum Masihi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beberapa hasil penulisan sejarah sebelum ini telah menceritakan mengenai kepentingan Sungai Batu dalam perusahaan besi serta keunggulan tamadun Kerajaan Kedah Tua di kawasan berkenaan.

Dalam satu puisi Tamil, Pattinappalai ada menyatakan pedagang India telah mengimport besi dari Kataram untuk membuat pedang. Ia berasal daripada perkataan kazh iaitu besi hitam yang merujuk Kedah Tua.

Masyarakat purba

Mokhtar yang mengetuai pasukan arkeologi dari USM menjelaskan, kumpulannya menemui lebih dua juta unit tuyere atau peniup angin iaitu antara peralatan penting dalam industri kuno peleburan besi dalam tempoh penyelidikan tersebut.

Tuyere itu berbentuk bulat dan panjang kira-kira 20 sentimeter dan ada lubang di tengahnya yang digunakan oleh masyarakat purba Sungai Batu pada masa itu untuk mengepam udara di relau semasa proses peleburan.

Selain itu, kumpulan penyelidik PPAG USM itu juga menemui 12 tapak peleburan besi dan bijih besi yang banyak di sekitar kawasan tersebut.

Mokhtar menambah, penemuan penting kedua pula menemui lapan tapak jeti pelabuhan yang lokasinya bertentangan antara satu sama lain di tepi Sungai Batu. Kesemua jeti itu mencerun ke arah sungai tersebut dan ditemui seni bina lantai jeti dan tangga.

Mokhtar dan pasukannya dari USM berjaya menemui 12 tapak peleburan besi dan bijih besi di tapak arkeologi Sungai Batu.

“Di sebuah lokasi sebahagian kayu ditemui kemungkinan daripada sebuah kapal di dalam kolam yang bertakung antara tengah-tengah lokasi yang ditandai sebagai Sungai Kuno,” katanya.

Mokhtar berkata, penemuan ketiga pula merupakan pusat pentadbiran yang mempunyai 12 tinggalan bangunan yang menunjukkan telah digunakan sebagai bangunan sokongan kepada aktiviti di pelabuhan tersebut. Selain itu, kumpulan penyelidik juga menemui lebih 20 tapak baharu di kawasan tersebut antaranya kemungkinan sebuah istana lama.

Beliau berkata, monumen ritual atau keagamaan adalah penemuan penting keempat dengan seni bina yang unik dan tidak pernah ditemui monumen lain yang mempunyai seni bina yang sama di dunia ini.

“Ia dibina sepenuhnya daripada bata yang ditarikhkan pada tahun 110 Masihi. Monumen ini jelas menunjukkan cirinya digunakan untuk kepercayaan animisme iaitu penyembahan alam semula jadi.

“Ini menunjukkan masyarakat Melayu di Lembah Bujang bermula dengan kepercayaan animisme kemudiannya Hindu-Buddha dan akhirnya Islam,” katanya. Selain itu, seramai 65,000 pelancong telah datang melawat kompleks arkeologi tersebut selepas diisytiharkan sebagai tamadun terawal dan tertua di rantau Asia Tenggara.

Sementara itu, seorang sukarelawan UNESCO, David Bowden dari Australia berkata, beliau kagum dengan hasil penyelidikan PPAG USM yang menemui bahan-bahan arkeologi berusia lebih 2,000 tahun iaitu tamadun terawal di Asia Tenggara iaitu tahun 535 Masehi.

Menurutnya, tapak arkeologi tersebut didapati mendahului beberapa abad berbanding dua khazanah arkeologi terkemuka di rantau ini iaitu Kuil Borobudur di Indonesia dan Angkor Wat di Kemboja.

“Saya percaya tapak ini layak untuk dinobatkan sebagai Tapak Warisan Dunia yang kedua di Malaysia selepas Lembah Lenggong di Perak.

“Difahamkan kumpulan penyelidik dari USM sedang giat melengkapkan dokumen mengenai penemuan bahan-bahan arkeologi di tapak ini sebagai persediaan untuk diserahkan kepada wakil kerajaan, Jabatan Warisan Negara untuk mencalonkannya sebagai Tapak Warisan Dunia,” katanya.

Pusat sehenti

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Sejarah Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tuanku Bainun, Sivarajan Ponniah pula berkata, kerajaan Pusat dan negeri sewajarnya mengambil peluang daripada penemuan khazanah arkeologi di tapak tersebut sebagai pusat arkeopelancongan bertaraf dunia.

Katanya, penemuan khazanah arkeologi yang luar biasa di tapak tersebut perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan untuk menarik lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara mengunjunginya.-Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.