Buaya Usia Lebih 70Tahun Terselamat Selepas Kediaman Tuannya Hangus Terbakar

DARWIN – Seekor buaya tempatan berusia lebih 70 tahun peliharaan seorang warga Australia, berjaya terselamat daripada maut setelah kediaman pemiliknya pula hangus terbakar.

Stesen Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) melaporkan pasukan bomba dipanggil pukul 10 pagi Khamis lalu untuk memadamkan api di sebuah rumah di daerah Fannie Bay, enam kilometer dari pusat bandar Darwin.

Namun, para petugas terkejut setelah berjaya menemui Albert, seekor buaya betina yang memiliki panjang empat meter, sedang santai ‘berehat’ di sebuah kolam yang terletak di bahagian kediaman yang terbakar itu.

“Kami menjumpai rumah bertingkat ini dijilat api, dan secara kebetulan satu-satunya penghuni rumah itu, seorang lelaki selamat daripada kebakaran tanpa mengalami luka,” kata petugas bomba tempatan, Bill Gleeson.

“Para penduduk kemudian berkumpul di luar rumah dan mereka sudah dijelaskan bahawa tidak ada orang di dalam kediaman ini. Ia berita yang sangat melegakan para petugas pemadam kebakaran,” terang beliau lagi.

Lantai teratas rumah milik seorang wanita dikenali sebagai Helen Haritos ini hancur, namun mujur haiwan jinak kesayangannya, iaitu Albert yang sudah dipelihara keluarga ini sejak 1958, selamat berada di dalam kolamnya.

“Untung kerana buaya ini sama sekali tidak mempengaruhi operasi kami. Ia terkurung dengan baik dan benar-benar tidak terkena api. Ia tampak cukup ‘gembira’ apabila melihat saya memeriksa tempat itu,” jelas Gleeson.

Seorang pakar buaya tempatan, Tom Nichols, yang biasanya sering menangkap buaya sesat dalam perangkap di sekitar Pelabuhan Darwin lantas dipanggil bomba untuk memastikan apakah reptilia itu perlu dipindahkan.

“Ini jelas pengalaman pertama kali bagi diri saya. Saya hanya ingin memastikan kolamnya selamat dan juga berjaya menghubungi si pemilik,” ujarnya. Keluarga tuan punya rumah itu ada memiliki permit untuk memelihara buaya.

Albert dipercayai sebagai satu-satunya buaya air masin dewasa yang masih lagi dipelihara manusia dan tinggal secara bebas di halaman belakang rumah di pinggiran kota Darwin, ibu kota Wilayah Utara Australia yang tropika.

“Haiwan liar ini ada di ‘tangan’ mereka dan diwarisi sejak sebelum era buaya kemudian menjadi binatang buas yang dilindungi oleh kerajaan Australia,” jelas Nichols. Waktu dulu, penduduk dapat bunuh buaya secara sesuka hati.

Helen sempat berbicara kepada ABC mengenai perasaan sayangnya terhadap reptilia dua alam tersebut dan katanya: “Memang tidak seperti anjing saya, tapi saya memiliki ikatan dan rasa sayang khusus untuk haiwan ini.”

“Sebenarnya ia (Albert) cukup mudah untuk dirawat, saya menganggap cara perawatannya agak sedikit, namun ia perlu dilakukan dengan penuh hormat kerana mereka adalah haiwan yang sangat berbahaya,” sambungnya.

Bapa Helen, George Haritos, sang pemburu buaya terkenal menangkap Albert di Sungai Mary pada 1958. Helen, 64, mula mewarisi reptilia tersebut pada 1992 ketika ayahnya meninggal dunia. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.